Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Bt. Maung harap bantu capai sasaran 40% kadar kitar semula

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : SHUM JIAN-WEI

BATU MAUNG – Pembangunan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Batu Maung baharu dan tapak pelupusan sedia ada di Pulau Burong diharap dapat menjayakan matlamat Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran 40 peratus kadar kitar semula.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sama ada Pulau Pinang boleh menepati sasaran tersebut ataupun tidak, ia bergantung kepada sokongan dan penglibatan masyarakat keseluruhannya.

“Sungguhpun kita (Kerajaan Negeri) bangga Pulau Pinang kini mempunyai kadar kitar semula sebanyak 31 peratus berbanding kadar kebangsaan yang hanya 10.5 peratus, namun kita harus sedar bahawa untuk menjadi sebuah negeri maju, masyarakatnya perlu mengutamakan kebersihan di dalam kehidupan seharian.

“Ia bukan hanya bergantung kepada infrastruktur semata-mata, kerana Kerajaan Negeri telah lakukan seberapa yang boleh untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bersih dan hijau.

“Adalah menjadi cabaran kita untuk melaksanakan projek pelupusan di negeri ini ekoran terdapat kekangan seperti faktor kewangan, keperluan dan juga kegunaan tanah.

“Maka, dengan pembangunan stesen pemindahan sisa pepejal ini dan tapak pelupusan sedia ada (Tapak Pelupusan Pulau Burong), diharap mampu membantu mencapai matlamat 40 peratus dan seterusnya 50 peratus iaitu melahirkan sebuah negeri hijau pada masa hadapan,” ujarnya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Batu Maung berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini 16 Februari lalu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail dan Setiausaha Bandaraya, Ar. Yew Tung Seang.

Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Batu Maung yang melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM61,436,722 tersebut dibiayai oleh Eurasia Express Sdn. Bhd. (EESB) iaitu selaku pemaju projek yang dilantik oleh MBPP.

Di samping itu, EESB turut dipertanggungjawabkan untuk mengendali pengoperasian projek berkaitan untuk tempoh 16 tahun, yang mana setiap tahun, kos sejumlah RM1.5 juta bakal dibiayai oleh MBPP.

Difahamkan, stesen pemindahan berkeluasan 13 ekar mampu menampung sejumlah 600 tan sampah sisa pepejal pada satu-satu masa, akan mula dibangunkan pada 1 April ini dan dijangka siap sepenuhnya 18 bulan akan datang Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, dalam menuju ke arah sebuah negeri bersih dan hijau, pelupusan serta pengurusan sisa pepejal perlu dilakukan secara baik, professional dan efisien.

“Stesen pemindahan ini akan memainkan peranan sebagai pusat transit untuk sisa pepejal sebelum dilupuskan di Tapak Pelupusan Sungai Burong, Seberang Perai Selatan (SPS).

“Ia terletak di lokasi strategik dan ideal untuk pengurusan pelupusan yang mengikut Guidelines For The Siting and Zoning of Industrial and Residential Areas.

“Bukan sahaja terletak berdekatan lebuh raya yang memudahkan penghantaran (sisa pepejal) menggunakan jalan darat, malah jika berlaku sebarang kemungkinan, kita mempunyai alternatif lain iaitu menggunakan jalan laut,” jelas beliau.