Syor ‘pemisahan berwajib sisa’ Putrajaya dikaji – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri sedang mengkaji model terbaik untuk melaksanakan pemisahan berwajib sisa makanan di negeri ini, susulan daripada cadangan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan polisi hijau itu secara berperingkat mulai September tahun depan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, suatu undang-undang kecil berupa enakmen mungkin akan digubal supaya selari dengan syor Putrajaya tersebut.

“Kerajaan Negeri sedang mengkaji model dan amalan Kerajaan Persekutuan supaya kita dapat membuat enakmen yang diperlukan dalam anggaran rumahtangga yang memastikan pengasingan sisa di peringkat sumber ini akan dilaksanakan dengan lancar di seluruh negeri.

“Dalam undang-undang kecil yang digubal kami, akan ada ‘2 + 1’ pengumpulan sampah (iaitu) yang boleh dikitar semula dan sisa makanan akan dikutip seminggu sekali, manakala, sampah yang tidak boleh dikitar semula akan dikutip dua kali seminggu,” ujarnya semasa merasmikan Malam Kecemerlangan Alam Sekitar 2014 Untuk Pencapaian, Anugerah & Pengiktirafan (Penang Green 3A Gala 2014) di sini baru-baru ini.

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Naib Pengerusi Penang Green Council (PGC), Phee Boon Poh turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Datuk Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) dan Thing Siew Shuen (Pengurus Besar PGC).

Menurut Guan Eng, dianggarkan RM4 juta dapat dijimatkan sekiranya sistem pungutan sampah yang baru kelak dapat dikurangkan dari 750 tan kepada 550 tan tiap-tiap hari.

Difahamkan, Pulau Pinang diiktiraf mencapai kadar kitar semula sisa pepejal paling tinggi di negara ini dengan 28 peratus oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan 34 peratus, MPSP.

Dalam perkembangan sama, wartawan akhbar Sinar Harian, Siti Nadiah Ahmad Zamlus, Christina Chin Swee Gaik (The Star Publications), Tan Sin Chow (The Star Publications), Chua Cheng Leng (Guang Ming Daily), Syajaratulhuda Mohamad Rosli (Sinar Harian), M. Gokina (Sinar Harian), Cavin Lim Ai Li (The Star Publications), Ong Khar Yong (Kwong Wah Yit Poh), Foong Wai Loon (Guang Ming Daily) Yeap Cheong Wah (Guang Ming Daily), Teh Chin Hooi (Sin Chew Daily) dan Tan Choon Lee (Guang Ming Daily) adalah antara penerima Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang dalam pelbagai kategori pada malam tersebut.

Ecobiomaterial Research Laboratory dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Golden Highway Auto-City Sdn. Bhd. masing-masing turut menerima anugerah Insentif Inisiatif Hijau Pulau Pinang daripada Guan Eng.

Manakala, Anugerah Pertandingan Video Hijau Pulau Pinang dimenangi Lim Tau Wong, Ooi Leng Seng dan Sim Lee Sen.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengakui semua roh hijau, yang mempunyai sumbangan dan pencapaian cemerlang dalam pemuliharaan alam sekitar.

“Ini juga merupakan malam penghargaan bagi nama 11 individu dan pertubuhan-pertubuhan serta mereka yang memenangi Anugerah Sekolah Hijau di Pulau Pinang,” ujar beliau yang juga Pengerusi PGC.