Kalendar Penang Trade Events cermin kesungguhan Kerajaan Negeri

Gambar : MARK JAMES

GEORGE TOWN – Pelancaran Kalendar Penang Trade Events 2015 Ke-6 mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam merangsang dan membangunkan perdagangan serta perniagaan di Pulau Pinang, jelas Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim di sini baru-baru ini.

Katanya, pelancaran tersebut adalah bagi mengumpulkan kepelbagaian acara yang akan berlangsung di negeri ini sepanjang tahun sebagai program perniagaan dan perdagangan utama.

“Apabila ia dilancarkan buat pertama kali iaitu pada tahun 2009, hanya terdapat 15 acara.

“Tetapi, hari ini, terdapat 112 acara yang telah dirancang akan dilaksanakan pada tahun hadapan (2015) berbanding tahun ini (2014) hanya 69 acara.

“Ini merupakan kesungguhan kita (Kerajaan Negeri) untuk berusaha menjadikan acara-acara berkaitan sebagai faktor yang menyumbang kepada ekonomi negeri,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Kalendar Penang Trade Events 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rahim Isahak.

Tambah Abdul Malik, pelancaran tersebut adalah sebagai usaha untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi persidangan dan pameran di rantau ini dan juga menjadi penganjur utama dalam penganjuran acara antarabangsa.

“Selain mempromosikan Pulau Pinang di peringkat antarabangsa, langkah ini adalah sebagai pengiktirafan yang sepatutnya kepada rakan-rakan perniagaan (penganjur ekspo, pertubuhan dan lain-lain) di atas komitmen masing-masing.

“Ini merupakan komitmen kita (Kerajaan Negeri) dalam membantu mereka yang terlibat meningkatkan program-program dijalankan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa di masa hadapan,” ujar beliau.