TKMI harap media amal integriti penyampaian maklumat

PANTAI JEREJAK – Pejabat Timbalan Ketua Menteri I (TKMI) baru-baru ini menganjurkan Majlis Makan Malam TKMI Bersama Media bagi menghargai usaha dan kerjasama antara dua pihak berkaitan di sini.

TKMI, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, peranan media amat luas dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai khususnya berkaitan usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dari masa ke masa.

“Saya berasa amat gembira dengan jalinan kerjasama yang ditonjolkan terutama dalam mendidik dan menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan kerjasama strategik dapat dijalinkan bersama media massa di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Nor Azizah Haron. Dalam pada itu, tambah Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, beliau mengharapkan agar pihak media mampu mengamalkan integriti dalam penyampaian maklumat dan tidak bersifat ‘pilih bulu’.

Seramai 65 pengamal media termasuk editor, penulis dan jurugambar dari 19 buah penerbitan tempatan hadir memeriahkan majlis.

Majlis Makan Malam TKMI Bersama Media itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan karaoke, sesi bergambar dan cabutan bertuah.