Kak Aishah harap pelapis muda teruskan perusahaan keropok Kunita

SITI Aishah Mohd. Said atau Kak Aishah (dua dari kanan) bergambar kenangan dengan rakan-rakan sekerjanya di hadapan premis penjualan produk-produk keluaran mereka.
SITI Aishah Mohd. Said atau Kak Aishah (dua dari kanan) bergambar kenangan dengan rakan-rakan sekerjanya di hadapan premis penjualan produk-produk keluaran mereka.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

BERMULA dengan idea untuk menambah pendapatan persatuan nelayan tempatan, perusahaan keropok yang diusahakan Kumpulan Wanita Nelayan Sri Betong (Kunita) kini amat popular dalam kalangan pelancong tempatan dan juga luar.

 

Walaupun pasarannya hanya terhad di Kuala Pulau Betong, namun, permintaan yang disertakan dengan pakej penyajian keropok-keropok siap digoreng di suasana semulajadi – jeti nelayan Kuala Pulau Betong bagai tidak menang tangan diurus.

 

Pengerusi Kunita yang juga individu terlibat secara langsung dalam pembuatan keropok di Kuala Pulau Betong, Siti Aishah Mohd. Said, 58, menyatakan bahawa perusahaaan yang diusahakan sejak tahun 2006 kini menjadi sumber pendapatan utama Kunita.

 

“Idea membuat keropok adalah berasaskan lokasi dan juga bagi mengelak bekalan ikan tidak dibazir dengan sewenang-wenangnya,” jelasnya yang lebih mesra dengan panggilan Kak Aishah.

 

Kak Aishah memberitahu, sebelum memulakan perusahaan berkaitan, beliau sendiri menghadiri kursus bagi mengetahui cara menubuhkan sesebuah persatuan. Selepas persatuan ditubuhkan, para ahli (ketika itu) mengadakan perbincangan berhubung produk jualan yang bersesuaian.

 

“Setelah keputusan dibuat untuk mengusahakan produk keropok, saya dan 10 ahli lain ke Cendering, Terengganu untuk memahiri teknik-teknik asas pembuatan.

 

“Kami berada di sana selama satu minggu. Selepas balik, kami buat adunan sendiri sebab citarasa orang Penang dengan Terengganu adalah tidak sama.

 

“Selain itu, kami juga memohon bantuan mesin pengadun dan freezer yang diberikan atas kepercayaan daripada pihak-pihak berkaitan sebagai ‘modal’ untuk mula,” jelasnya yang kini telah 12 tahun menjawat jawatan berkaitan.

TEKNIK menguli keropok lekor yang sukar dimahiri.
TEKNIK menguli keropok lekor yang sukar dimahiri.

Bukan senang nak buat, luah Kak Aishah kepada Buletin Mutiara sambil menyajikan keropok-keropok lekor yang telah siap digoreng untuk santapan pagi kami.

 

“Kandungan air, ais dalam isi ikan, garam, adunan tidak sebati, ikan baru antara faktor penyebab keropok menjadi terlalu lembik, putus-putus apabila dimasak dan macam-macam lagi.

 

“Untuk betul-betul jadi dan betul-betul mahiri teknik pembuatan, Kak Aishah telah menggunakan tempoh lebih kurang satu tahun,” katanya.

 

Mengulas lanjut, bagi Kak Aishah, teknik menguli keropok lekor adalah paling sukar dimahiri beliau.

 

“Tidak semua orang boleh uli termasuk sesetengah kakitangan di sini,” jawabnya sambil mencabar penulis untuk mencuba.

 

Setiap hari kecuali hari Rabu (sekiranya tiada tempahan), rutin Kak Aishah dan pekerjanya bermula seawal 6.30 pagi bagi memproses 16 kilogram (kg) ikan untuk diadun bersama-sama 14kg tepung. Jumlah adunan tersebut merupakan yang paling minimum sekiranya tiada tempahan tambahan pada hari berkaitan.

 

Melalui bahan-bahan asas seperti ikan, tepung, garam dan telur, produk yang dihasilkan adalah seperti keropok lekor, keropok kering dan keropok sosej yang dijual pada setiap hari (kecuali Rabu) bermula jam 3 hingga 7 petang di Kuala Pulau Betong. Turut dipasarkan adalah pelbagai jenis-jenis kuih tradisional.

KEROPOK lekor yang telah siap digoreng dan sedia dihidangkan.
KEROPOK lekor yang telah siap digoreng dan sedia dihidangkan.

Dikurniakan enam cahaya mata, Kak Aishah memberitahu bahawa tiada seorang pun daripada anaknya berminat menceburi bidang berkaitan.

 

Malah, ‘profesion’ tersebut juga tidak mampu menarik 107 ahli-ahli Kunita kini, terutamanya golongan muda.

 

“Orang muda sekarang lebih suka duduk di pejabat. Sini (kilang pemprosesan keropok) panas serta tidak selesa.

 

“Kami tidak tahu nak turun (resepi) pada siapa. Setiap kali mesyuarat, kami ada nyatakan bahawa ada program latihan untuk golongan pelapis, malah, sepanjang tempoh belajar, kami juga ada tawarkan jumlah gaji yang sama macam pekerja di sini.

 

“Walaupun ada pasaran, namun, ia masih gagal untuk tarik minat golongan-golongan berkaitan,” ujar Kak Aishah sayu.

 

Tidak dinafikan, situasi tersebut menyebabkan beliau yang pernah menerima tempahan (terbanyak) sebanyak 100kg sehari sedih dan tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan memandangkan umur kakitangan-kakitangan di sini yang telah agak lanjut.

 

“Nak tutup memang sayang. Sedih, tapi, kami sudah cuba pelbagai cara,” tambahnya yang berasal dari Ipoh, Perak.

 

Berbicara mengenai perancangan masa depan perusahaan yang telah menjadi darah dagingnya, tidak dinafikan bahawa Kak Aishah ingin memperkembangkan pemasaran produk selain mengenalpasti golongan pelapis yang berminat.

 

“Harap ada orang pasarkan ke luar. Keropok kami lain iaitu kandungan ikan adalah banyak dan tepung sikit. Ia juga dibuat secara segar setiap hari.

 

“Selain itu, memang Kak Aishah harapkan sangat ada pelapis yang akan ambil alih,” jawab beliau ringkas tetapi penuh dengan harapan tersirat.

 

 

 

 

 

 

INFO :

Kunita Sri Betong

Kuala Pulau Betong,

11020 Balik Pulau.

012 – 477 4625 (Kak Aishah) ; 019 – 444 3107 (Kak Ani)

FB : Kunita Sri Betong

 d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);