Tmn. Lebuh Armenian beri manfaat kepada rakyat & sektor pelancongan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap projek menaiktaraf Taman Lebuh Armenian berkeluasan 3,600 meter persegi di sini bakal memberi manfaat kepada rakyat sekaligus merancakkan sektor pelancongan setempat.

Projek bernilai RM1.2 juta tersebut adalah hasil usahasama Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) dan Aga Khan Trust fot Culture (AKTC) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai salah satu inisiatif memulihara kawasan Tapak Warisan UNESCO.

“Di Pulau Pinang, tidak banyak kawasan riadah semulajadi yang hijau dan selesa untuk orang awam, jadi Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menaiktaraf taman-taman kejiranan sedia ada.

“Kerajaan Negeri juga berusaha membuka rangkaian kawasan-kawasan riadah demi meningkatkan aktiviti sosial penduduk sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran Taman Lebuh Armenian di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, ADUN Pulau Tikus, Yap Soo Huey, Pengerusi ThinkCity, Prof. Datuk Dr. Anwar Fazal dan Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu bahawa usahasama antara AKTC, ThinkCity, MBPP dan Kerajaan Negeri bukan sahaja merangkumi penarafan taman-taman kejiranan, tetapi juga mengambil kira nilai estetika sesebuah taman tersebut sebelum dinaiktaraf.

Dalam majlis sama, Guan Eng turut melancarkan ICOMOS Children Art Competition 2016 sempena Hari Monumen dan Tapak Warisan Sedunia 2016 dengan bertemakan ‘Heritage Food of Malaysia’.

Hasil karya pemenang akan ditukar kepada poskad atau kad resepi untuk dijual dan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan terpilih.