Zul tidak kenal putus asa usaha tanah pertanian

Admin

 

Zul dengan tanaman terbaru, jagung.
Zul dengan tanaman terbaru, jagung.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

DI bawah terik panas matahari, setiap pekerja begitu asyik dan tekun menyemai benih-benih rumput.

 

Begitulah rutinnya setiap hari, malah, semua semaian perlu disiram sebanyak tiga kali sehari.

 

Bagi pemilik tapak semaian dan pengeluaran rumput ‘karpet’, Zulkiefly Saad, 56, komitmen para pekerja merupakan kunci utama beliau mampu bertahan dalam bidang perniagaan tersebut hingga kini.

f

Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Zul, perniagaan rumput karpet tidak banyak cabaran, namun, memerlukan penjagaan rapi seperti kena ‘panas’ dan air yang cukup.

 

Terlibat dalam bidang perniagaan tersebut sejak lima tahun lalu, Zul menyatakan bahawa ia adalah didorong oleh faktor percambahan projek-projek perumahan di negeri Pulau Pinang.

 

“Saya tengok dan sembang sana-sini, memang terdapat permintaan dan pasaran terhadap rumput karpet kerana sebagaimana maklum, pemaju sebelum ini memperoleh rumput-rumput tersebut hanya dari Sungai Buloh, Selangor,’’ ujar beliau kepada skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut, pada peringkat permulaan, beliau bersama rakan kongsi, Abdul Latif Hashim, 51, terpaksa berjumpa dengan pihak pemaju bagi memasarkan produk-produk berkenaan.

 

“Hampir setahun kami berbuat demikian baru lah betul-betul membuahkah hasil yang mana kini para pemaju akan order terus dari kami,’’ jelas Zul yang dikurniakan empat cahaya mata.

 

TANAH bakar yang sedia dipasarkan.
TANAH bakar yang sedia dipasarkan.

Terdapat kira-kira lima jenis rumput karpet yang disemai di tapak semaian beliau terletak di Kampung Cherok To’ Kun, Machang Bubuk, Seberang Perai Tengah (SPT).

 

Antaranya adalah rumput karpet Filipina, Jepun, padang bola, mutiara biasa dan mutiara batik.

 

Menurut Zul, rumput karpet jenis Filipina adalah jenis yang cepat tumbuh. Ia hanya memerlukan tempoh masa 40 hari berbanding jenis Jepun, empat bulan sebelum sedia dipasarkan.

 

Setiap jenis rumput disemai di atas plastik hitam khas bersaiz 2 kaki x 1 kaki.

 

Dianggarkan, sebanyak 25,000 keping rumput dipasarkan dalam tempoh sebulan oleh Zul.

 

Mengulas lanjut, Zul yang berasal dari Kampung Cherok To’ Kun menyatakan bahawa cabaran terbesar dalam bidang tersebut adalah faktor modal.

 

“Perniagaan ini memerlukan modal yang besar terutamanya dalam ‘mencari’ serta ‘menjejaki’ pekerja-pekerja berpengalaman.

 

“Saya dan Pak Latif (Abdul Latif) terpaksa ‘melancong’ ke sana sini bagi mencari bekas-bekas pekerja yang bekerja di pusat semaian Sungai Buloh sebelum ini.

 

“Ini kerana, adalah penting mengambil pekerja berpengalaman bagi menjayakan perusahaan ini,’’ jelas beliau sambil menjelaskan bahawa sejumlah besar modal turut dibelanjakan untuk kemudahan logistik serta penginapan para pekerja.

 

Pada masa sama, kos meratakan kawasan seluas lapan ekar bagi tujuan berkenaan turut termasuk dalam prospek modal permulaan.

 

Selain rumput, di lokasi bersebelahan, Zul turut mengusahakan tanaman limau kasturi.

 

Sebanyak 2,000 pokok limau kasturi ditanam di kawasan bekas projek kelompok pertanian yang sebelum ini mengusahakan tanaman nanas.

 

“Bagaimanapun, ekoran pasaran pasaran yang kian menurun dan persaingan, Zul kini beransur-ansur mencari alternatif lain menggantikan jenis tanaman berkenaan.

 

Terbaru, Zul yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam mengharungi pelbagai cabaran dalam bidang pertanian mula berjinak-jinak dengan proses penghasilan tanah bakar.

 

“Prosesnya bukan mudah,’’ nyatanya ringkas.

 

Tanah bakar yang kini semakin popular digunakan dalam bidang pertanian memerlukan tempoh masa kira-kira empat hingga lima hari untuk ‘masak’.

 

“Sekiranya tidak pandai, kadang-kala mencapai tempoh sebulan,’’ kata beliau.

 

Jelas Zul, permintaan terhadap tanah bakar adalah amat tinggi kini ekoran keunikannya.

 

“Ia adalah jenis tanah yang bersih tanpa virus iaitu dihasilkan daripada campuran tanah dan kayu yang dibakar.

 

“Untuk menggunakannya, campur ia (tanah bakar) dengan baja dan tanam pokok berkaitan. Akar pokok akan mudah ‘turun’,’’ ujar beliau sambil menjelaskan bahawa tanah bakar amat sesuai dengan pokok kemboja.

 

Sebagaimana usahawan-usahawan lain, Zul dan Abdul Latif menyimpan hasrat untuk memperbesarkan prospek perniagaan sedia ada terutamanya dalam penghasilan tanah bakar.

 

“Kami akan terus berusaha dan kini sedang mempelopori tanaman jagung,’’ katanya sambil tersenyum.

 

 

INFO :

Zul :013 – 436 2848