Naik tarif air elak pembaziran – KM

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri lazimnya amat bimbang ekoran kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel baru-baru ini yang menyatakan bahawa kepanasan berpanjangan di Lautan Pasifik atau El Nino dijangka berlaku pada separuh tahun kedua ini yang mana dijangka bakal memburukkan lagi keaadaan cuaca kering sedia ada.

Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa kejadian El Nino dan jumlah hujan yang didedahkan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada persidangan di Brunei baru-baru ini adalah dijangka di bawah jumlah purata untuk sebahagian besar rantau selatan sehingga musim monson barat daya pada awal bulan Oktober.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim  Guan Eng berkata, lanjutan itu, beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus supaya memohon diadakan satu taklimat khas oleh pihak kementerian terbabit kepada barisan Exco Kerajaan Negeri berhubung perkara berkenaan.

“Dengan penggunaan air domestik sebanyak 311 per kapita sehari di Pulau Pinang iaitu 50 peratus lebih tinggi daripada purata penggunaan nasional sebanyak 212 liter per kapita sehari, kita (Kerajaan Negeri) tidak dapat meneruskan ‘perniagaan seperti sedia kala’.

“Sebaliknya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu bertindak dengan penuh tanggungjawab dengan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan inisiatif catuan air,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, kadar kepenggunaan air domestik yang tinggi di sini (Pulau Pinang) turut mendapat maklum balas daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili yang mana telah menolak permohonan Kerajaan Negeri supaya Pusat mengambil alih Skim Perpindahan Air Mentah Sungai Perak bernilai RM300 juta.

“Malah, beliau (Maximus Johnity) menyatakan bahawa sumber air Pulau Pinang boleh ‘dipanjangkan’ sekiranya kita (Pulau Pinang) mengurangkan penggunaan air domestik yang tinggi kini.

“Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuat pilihan tepat bagi mengelakkan inisiatif catuan air menerusi pengurangan penggunaan air domestik dengan menaikkan tarif air ekoran kegagalan kempen pendidikan mengenakan surcaj pemuliharaan air (WCS) terhadap mereka yang membazir air sebelum ini,’’ jelas beliau.