GEORGE TOWN – Seramai 10 Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat Pulau Pinang menyifatkan tangkapan polis ke atas 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) sejurus selesai majlis perarakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lepas sebagai kegelitaan demokrasi negara.
MP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak wajar mengarahkan tangkapan tidak munasabah tersebut, memandangkan PPS ditubuhkan berdasarkan bidang kuasa yang ada pada sebuah Kerajaan Negeri.
“Beliau agak tidak konsisten dalam mengamalkan tindakan undang-undang.
“Saya lihat dia begitu gemar menggunakan Akta Hasutan dengan sesuka hati,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Abdul Khalid akan melakukan operasi tangkapan bermotif politik secara besar-besaran demi menindas pemimpin Pakatan Rakyat.
Sebelum itu, MP Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun turut membacakan 10 deklarasi bersama sambil menyifatkan insiden tersebut sebagai ‘Ops Merdeka Hitam’.
Dalam kenyataannya, Chuan Aun berkata, polis sepatutnya tidak bertindak sedemikian pada majlis rasmi Kerajaan Negeri yang turut dihadiri Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.
Malah, beliau turut mengutuk Putrajaya kerana mengheret R.S.N. Rayer di bawah Akta Hasutan sungguhpun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima tersebut berucap dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang nyata kebal daripada segi perundangan.
“Saya juga menuntut dan mencabar Khalid agar menyahut cabaran Ketua Menteri untuk berdebat secara terbuka mengenai isu penahanan PPS, Exco dan ADUN dalam masa tujuh hari atau pun dia (Khalid) akan dilabelkan sebagai pengecut,” tegas Chuan Aun.
Lanjutan itu, MP Tanjung, Ng Wei Aik meminta Abdul Khalid segera menjejaki dalang di sebalik insiden balingan bom buatan sendiri ‘molotov cocktail‘ ke perkarangan kediaman Ketua Menteri baru-baru ini.
MP Batu Kawan (P. Kasthuriraani) dan Sim Chee Keong (MP Bukit Mertajam) dan Wong Hon Wai (Ahli Dewan Undangan Negeri Ait Itam merangkap Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri) turut sertai sidang media tersebut.
10 MP Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Guan Eng (Bagan), Chee Keong, Zairil, Kasthuriraani, Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Wei Aik, Chuan Aun, Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam satu reaksi spontan memberitahu, aktiviti kesukarelawan PPS akan direhatkan serta-merta sehinggalah ada keputusan mahkamah berhubung kesahihan pertubuhan di bawah kerajaan negeri tersebut.