Tubuh PPS demi bantu polis tangani jenayah – Exco

Oleh: WATAFA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menjelaskan bahawa penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri pada tahun 2011 bukan untuk mengambil peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya bertujuan membantu pasukan keselamatan terbabit menangani jenayah di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi PPS berkata demikian semasa mengulas mengenai insiden tangkapan beramai-ramai 156 anggota sukarelawan berkenaan sejurus selesai acara perbarisan Hari Kemerdekaan Ke-57, 31 Ogos lepas.

“Atas dasar kesedaran mencegah jenayah, kita (Kerajaan Negeri) menubuhkan PPS dan ini bukan bertujuan mengambil alih tugas polis, sebaliknya, membantu pihak polis,” ujarnya semasa ditemui di tempat kejadian dekat perkarangan Padang Kota di sini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri pada Mesyuarat MMK Bil. 16/2011 bertarikh 27 April 2011 lepas mencadangkan penubuhan PPS dan kelulusan serta pengesahan penubuhan badan sukarelawan itu pula pada 4 Mei 2011.

“Garis panduan telah siap sedia pada Mei 2011 (manakala) Majlis Pelancaran pula diadakan di Dewan Sri Pinang (dekat George Town) pada 17 September 2011),” jelas beliau.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos lepas mendakwa kewujudan PPS adalah bersalahan dengan undang-undang kerana tidak pernah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan, 1966.

Dakwaan itu, selepas insiden ahli perniagaan, Ong Eu Soon, 51, mengaku diserang dua lelaki berpakaian seragam PPS di Air Itam baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam reaksi spontan memberitahu, dakwaan Khalid itu adalah tidak masuk akal sama sekali.

Ini kerana, katanya, PPS ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, sebagaimana penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri ini dan di seluruh negara.

Hari kejadian pada 31 Ogos lepas, Boon Poh serta 156 anggota PPS lain ditangkap secarta beramai – ramai dan dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai di sini, sebelum direman semalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dekat Jalan Patani.