11,200 peniaga, penjaja berlesen diberi pengecualian bayaran permit dan sewa premis

TANJONG BUNGA – Seramai 11,200 peniaga kecil dan penjaja berlesen di negeri ini diberikan pengecualian bayaran sewa premis dan permit selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2021.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa pengecualian diberikan adalah melibatkan bayaran sewa bagi premis pernigaan serta komersial milik kedua-dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Beliau berkata, pemberian insentif tersebut adalah melibatkan kos keseluruhan berjumlah kira-kira RM5.12 juta yang ditanggung oleh kedua-dua PBT.

Jagdeep Singh Deo mengedarkan bendera Jalur Gemilang kepada peniaga di Pasar dan Kompleks Tanjung Bunga sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

“Penutupan sektor-sektor ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang amat besar kepada ekonomi dan kehidupan rakyat di negeri ini

“Oleh itu, semalam (15 September 2021) Kerajaan Negeri telah meluluskan insentif pemulihan peniaga dan penjaja di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu golongan terbabit dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini.

“Pengecualian bayaran sewa presmis ini bakal memanfaatkan seramai kira-kira 11,200 peniaga dan penjaja yang berdaftar dengan kedua-dua PBT di negeri ini,” katanya pada sidang media yang didakan dekat Pasar dan Kompleks Tanjung Bungah di sini pagi tadi.

Turut hadir, Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md Norodin.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, selain bayaran sewaan premis, Kerajaan Negeri turut memberikan pengecualian bayaran permit bagi penganjur pasar malam, pasar pagi pasar minggu dan pasar tani untuk tempoh setahun.

Antara peniaga di Pasar dan kompleks Tanjung Bunga.

Pada tahu lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan terutamanya bagi membantu golongan peniaga dan penjaja yang terkesan dek penularan pandemik di negeri ini.

Antara insentif yang diberikan adalah melibatkan bantuan tunai (one-off) RM500 kepada peniaga kecil, penjaja berlesen; bantuan tunai (one-off) RM500 kepada perkhidmatan gunting rambut, salun dan spa, perkhidmatan pusat refleksologi dan bekam.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberikan pengecualian sewa premis-premis perniagaan Kerajaan Negeri dan PBT serta rebat cukai taksiran tahun 2020 dan 2021 serta banyak lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING