128.4kg sisa dikutip sempena program ‘Clean Our Beach’

Admin
mbpp

TELOK BAHANG – Sebanyak 128.4 kilogram (kg) sisa berjaya dikutip dalam program pembersihan pantai Clean Our Beach anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Hotel Angsana Telok Bahang di sini, hari ini.

 

Ahli Majlis MBPP, Shafiz Rahim Raja berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu memelihara keindahan pantai, malah melindungi ekosistem laut daripada pencemaran sisa plastik serta bahan buangan lain.

 

whatsapp image 2025 08 27 at 16.58.36 c147de7f
SHAFIZ Rahim Raja ketika menyampaikan ucapan perasmian pada program ‘Clean Our Beach’ di sini.

 

Sebagai penduduk Pulau Pinang, kita semua bertanggungjawab memastikan pantai sentiasa bersih.

 

“Usaha ini tidak boleh berhenti setakat di sini sahaja. Mesej menjaga kebersihan perlu terus disampaikan kepada keluarga, jiran dan seluruh masyarakat.

 

“Hari ini, program ini mencerminkan komitmen masyarakat terhadap usaha menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya kawasan pantai,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

 

whatsapp image 2025 08 27 at 16.58.35 9a079f26
PETUGAS sedang mengumpul sisa di pesisir pantai di sini.

 

Menurut Shafiz, sebahagian daripada sampah yang dikutip boleh dikitar semula sekali gus mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke Tapak Pelupusan Pulau Burung yang dijangka hanya mampu beroperasi sehingga tahun 2036.

 

“Jika tindakan tidak diambil dari sekarang, kita bakal berdepan masalah pelupusan sisa pada masa depan.

 

“Aktiviti seperti ini penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kebersihan dan kesejahteraan negeri,” jelasnya.

 

whatsapp image 2025 08 27 at 16.58.37 c26f83d9
SESI bergambar bersama selepas misi pembersihan pantai yang berjaya mengutip 128.4 kilogram sisa.

 

Turut hadir beberapa Ahli Majlis MBPP antaranya T. Visvenathan dan R. Vickneson; ketua-ketua serta wakil jabatan kerajaan; Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Bahang serta pasukan Wira Kuning MBPP.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Angsana Telok Bahang, David Ong merakamkan penghargaan kepada MBPP dan semua peserta yang menjayakan program berkenaan.

 

whatsapp image 2025 08 27 at 16.58.36 688a8665
DAVID Ong ketika menyampaikan ucapan mengenai kepentingan menjaga kebersihan pantai.

 

“Program ini adalah peluang terbaik untuk kita bersatu sebagai komuniti yang bertanggungjawab demi melindungi keindahan pantai serta menunjukkan contoh kehidupan lestari,” katanya.

 

Teks & Gambar: M. DANESWARAN