1,602 terima sumbangan zakat sempena sambut Ramadan

BERTAM– Seramai 1,602 orang asnaf terpilih dari sekitar kawasan Seberang Perai menerima pelbagai sumbangan daripada sumber zakat yang keseluruhannya berjumlah RM1,070,136 sempena sambutan Nur Ramadan kali ini.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man berkata, jumlah keseluruhan sumbangan bantuan Nur Ramadan kali ini adalah sebanyak RM8,570,000, iaitu diagihkan dalam bentuk wang tunai RM600, hamper dan beras demi menceriakan mereka yang berkenaan.

“Sumbangan yang disampaikan menjelang masuknya bulan ibadah berpuasa (Ramadan) ini diharapkan akan menjadi lebih bermakna dan menceriakan kita semua, khususnya para penerima hari ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim turut berucap pada majlis tersebut.

Majlis Nur Ramadan 2015M/1436H itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Seri Farizan Darus dan Pengurus Besar ZPP, Dr. Azman Abdul Samat.

Pada majlis sama, Abdul Rahman turut mewakili ZPP bagi menerima zakat korporat daripada wakil Telekom Malaysia Berhad (TM) dan wakil Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS Malaysia Berhad, PLUS), yang haul 2014 masing-masing berjumlah RM128,469 dan RM708,244.

Mohd. Salleh pada sidang media selepas itu turut memberi respons pada isu semua wakil PAS digesa melepaskan jawatan lantikan politik masing-masing dalam Kerajaan Negeri, susulan usul ‘memutuskan hubungan politik dengan DAP’ telahpun diterima dalam muktamar parti baru-baru ini.

Mohd. Salleh memberitahu, statusnya sebagai Yang di-Pertua MAINPP hanya boleh ditentukan oleh istana memandangkan pelantikannya dilakukan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong.

“Saya masih Yang di-Pertua Majlis Agama Islam…masih berkhidmat dengan Kerajaan, masih berkhidmat dengan majlis (MAINPP) dan masih berkhidmat dengan zakat (sebagai Ahli Lembaga Pengarah ZPP).

“Saya dilantik oleh pihak istana dan saya menghormati pelantikan yang diperkenan oleh Yang Dipertuan Agong,” jelas Mohd. Salleh kepada wartawan.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);