BUKIT TAMBUN – Seramai 230 pengunjung, termasuk 200 peserta prapendaftaran dan 30 lagi yang mendaftar secara terus (walk-in), mengambil bahagian dalam Program Kesihatan Lelaki 2026 edisi ketiga anjuran bersama Boston Scientific di pusat beli-belah Design Village, di sini, hari ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, penganjuran program tahunan sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki sepanjang November itu bertujuan menggalakkan golongan berkenaan tampil menjalani pemeriksaan kesihatan awal memandangkan mereka sering berasa segan untuk berbuat demikian berbanding wanita.
Menurut beliau, program tersebut memberi penekanan khusus terhadap pencegahan penyakit kronik dan pengesanan awal masalah kesihatan utama dalam kalangan lelaki, terutamanya kanser kolorektal (usus besar) yang merupakan kanser paling lazim dalam kalangan lelaki di Malaysia, selain penyakit kardiovaskular.
“Apabila diimbau kembali, kerjasama sulung bersama-sama pihak Boston Scientific pada awalnya tertumpu pada kesihatan wanita.
“Namun begitu, apabila kami duduk berbincang dan meneliti semula produk yang dihasilkan oleh Boston Scientific di fasiliti mereka yang berpangkalan di Batu Kawan ini seperti yang telah dinyatakan oleh Dato’ Fearghal Hennessy sebentar tadi, kesemuanya berkait rapat dengan kesihatan lelaki, sedangkan kami belum mempunyai wadah yang tuntas untuk mendekati golongan tersebut.
“Maka, pada hemat saya, inisiatif ini amat membanggakan kerana selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti, perkara yang lebih utama bagi warga kerja Boston Scientific adalah program ini menjadi platform yang baik untuk mereka berbakti secara sukarela,” ujarnya kepada Buletin Mutiara sebelum menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.
Turut hadir, Naib Presiden Operasi Boston Scientific Medical Device (Malaysia) Sdn. Bhd., Dato’ Fearghal Hennessy serta Ketua Pegawai Operasi PE Land (Penang) Sdn. Bhd., Andy Song Chung Boon, selaku rakan penaja lokasi di Design Village.
Mengulas lanjut, Zi Sen memberitahu, warga kerja Boston Scientific berpeluang melibatkan diri secara langsung dalam program kemasyarakatan yang memanfaatkan kepakaran serta produk keluaran syarikat berkenaan di Batu Kawan, sekali gus menyumbang kembali kepada penduduk setempat.
Tambah beliau, penganjuran program itu turut menghimpunkan pelbagai pakar dan agensi berkaitan, termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) serta kakitangan Hospital Seberang Jaya (HSJ), bagi memudahkan orang ramai menjalani pelbagai saringan kesihatan secara menyeluruh dan serentak.
“Hal ini amat bermakna kerana kita benar-benar dapat menyumbang kembali kepada masyarakat melalui pendekatan sebegini, dan pihak penganjur berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Sementara itu, Fearghal Hennessy berkata, peluang menyokong sambutan Hari Kesihatan Lelaki buat kali ketiga berturut-turut pada tahun ini amat bermakna buat seluruh warga kerja syarikat peranti perubatan berkenaan yang berpangkalan di kawasan perindustrian Batu Kawan.

“Yang Berhormat (YB) telah menghubungi kami tiga tahun yang lalu dan bertanya sama ada kami boleh menganjurkan suatu program awam demi kesihatan lelaki serta meningkatkan kesedaran mengenainya.
“Kami mengeluarkan pelbagai produk berkaitan kesihatan lelaki, kardiovaskular dan neurologi.
“Oleh itu, peluang untuk menghulurkan bantuan dalam program di sini amat menggembirakan bagi kakitangan kami untuk turut serta, di samping menyumbang bakti kepada komuniti di tempat kami beroperasi,” jelasnya.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB