232 kakitangan MPSP terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 232 kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) hari ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2018.

Rozali menyampaikan bingkai gambar penerima APC 2018 kepada salah seorang wakil jabatan MPSP.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, APC 2018 menunjukkan peningkatan sebanyak 10.47 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 210 orang.

Jelasnya lagi, daripada jumlah itu, seramai 199 penerima terdiri daripada kakitangan lelaki manakala 33 lagi adalah kakitangan wanita.

“Justeru, setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada penerima-penerima APC kerana menunjukkan prestasi kerja yang mencapai tahap disasarkan oleh ketua-ketua jabatan dan pihak pengurusan.

“Saya berharap agar semua penerima anugerah ini terus komited dan meningkatkan prestasi kerja masing-masing demi menaikkan lagi imej dan kredibiliti MPSP,” katanya semasa merasmikan majlis berkenaan, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP; Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod; ketua-ketua jabatan dan pengarah-pengarah kanan serta barisan pengerusi persatuan MPSP.

Dalam majlis sama, seramai enam kakitangan turut menerima sijil penghargaan kerana menunjukkan komitmen yang tinggi dan penuh dedikasi, jujur serta melampaui tugas yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Rozali menyatakan bahawa kakitangan merupakan aset penting ya g sentiasa diberi perhatian oleh pihak pengurusan dalam memastikan MPSP terus menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) cemerlang.

“Walau bagaimanapun, kita juga amat menitikberatkan soal integriti dan disiplin kepada semua kakitangan tidak kira kumpulan pengurusan tertinggi atau sokongan.

“MPSP sememangnya komited dalam usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, tatatertib dan pecah amanah dalam kalangan kakitangan,” tegasnya lagi.

Difahamkan, setiap penerima APC 2018 menerima sijil, hadiah prestasi sebanyak RM1,000, peluang dan keutamaan memajukan kerjaya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD