24 Ahli Majlis MBPP dilantik termasuk empat muka baharu

DATUK Bandar MBPP dan barisan Ahli Majlis baharu bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama Ketua Menteri dan Exco-Exco Kerajaan Negeri di perkarangan hadapan bangunan Dewan Bandaraya dekat Padang Kota Lama di sini pada 6 Januari 2023.

GEORGE TOWN – Seramai 24 individu termasuk empat muka baharu melafazkan ikrar terimaan jawatan sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi sesi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2023 di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Dewan Bandaraya di sini.

KETUA Menteri (tengah) diiringi Jagdeep Singh Deo (kiri) dan Ar. Yew Tung Seang semasa menyampaikan amanat kepada barisan bakal Ahli Majlis MBPP baharu di sini pada pagi tadi.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; barisan Exco Kerajaan Negeri; beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad turut menyaksikan majlis penuh istiadat tersebut.

Semasa berucap, Kon Yeow antara lain memberitahu bahawa dari sudut geografi, Pulau Pinang telah menyediakan kemudahan-kemudahan bagi menjadikan George Town sebagai ’Bandar Global’.

Menurut Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, Datuk Bandar MBSP sendiri juga merupakan Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) telah membawa nama Pulau Pinang dalam forum-forum antarabangsa terutamanya pada peringkat platform Segitiga Emas Indonesia – Malaysia – Thailand (IMT-GT).

“Sejajar itu, Ahli-Ahli Majlis yang dilantik ini diseru untuk lebih peka dan sentiasa ke hadapan dalam mencari idea yang inovatif bagi meningkatkan daya saing serta daya huni bandar raya ini,

“Bagi memastikan Pulau Pinang terus menerajui pembangunan negara, ‘multi-tasking infrastructures’ perlu tersedia agar ia dapat menyokong pada tarikan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Pulau Pinang

“Sebagai contoh, bagi Ahli Majlis yang dipilih untuk menganggotai Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas, aspek ‘multi-tasking infrastructure’ ini perlu diterjemahkan bagi mendapat ‘output’ yang bersesuaian dengan keperluan rakyat,” katanya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan pada 6 Januari 2023.

Selain itu, Kon Yeow berharap barisan Ahli Majlis MBPP baharu turut memberi perhatian kepada pengenalan teknologi-teknologi baru seperti ‘Digital Twin’ demi membantu peringkat pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan mencapai piawaian bertaraf dunia.

Sebelum itu, Jagdeep turut berharap kedua-dua PBT negeri dapat memberi perhatian kepada usaha-usaha menangani perubahan iklim sebagaimana menjadi seruan pada peringkat global.

Sementara itu, Tung Seang pula berharap kesemua 24 Ahli Majlis MBPP baharu dapat terus membantu PBT berkenaan meningkatkan mutu pelanggan berdasarkan inisiatif-inisiatif pintar yang berjaya dilaksanakan pada peringkat pengurusan pentadbiran sebelum ini.

MOHAMAD Faruk Abdul Rahman

Seusai majlis melafazkan ikrar terimaan jawatan Ahli Majlis MBPP tersebut, Buletin Mutiara berusaha mendapatkan reaksi lanjut daripada empat muka baharu berkenaan iaitu Mohamad Faruk Abdul Rahman, Mohd. Hafiz Abd. Aziz, Dato’ Kamaruddin Abdullah dan Goh Huey Ee.

Mohamad Faruk, 40, yang dilantik atas kapasiti wakil Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Pulau Pinang berkata dalam tempoh pelantikan sebagai Ahli Majlis MBSP, parti meminta beliau menumpukan isu memartabat kelompok usahawan dan penjaja kecil.

“Saya akan fokus kepada program-program keusahawanan, pada masa sama meneruskan legasi MBPP yang telah berjaya capai sebelum ini di samping memberi tumpuan kepada beberapa perkara diamanatkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri,” ujarnya yang juga penggerak sepenuh masa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kebajikan Kemanusiaan Malaysia (ARIF).

MOHD. Hafiz Abd. Aziz

Nada hampir serupa turut dikongsi oleh Mohd. Hafiz, 60, yang turut dilantik atas kapasiti mewakili Amanah Pulau Pinang.

“Sebagai ‘muka baru’, saya akan mengikuti perkembangan (pentadbiran MBPP) telah buat serta memperbaiki polisi-polisi peringkat PBT sebagaimana dihasratkan oleh Ketua Menteri,” ulasnya yang juga bekas Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sepenuh masa.

KAMARUDDIN Abdullah

Manakala, Kamaruddin, 55, yang juga Pengasas Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) menyatakan bahawa beliau akan memanfaatkan pengalaman berdialog harmoni bagi menyemarakkan lagi George Town sebagai bandar raya harmoni serta mesra pelancongan untuk semua bangsa.

“Sebagai Ahli Majlis yang baru dilantik, pertama sudah tentu tugas-tugas hakiki iaitu memastikan MBPP terus menyediakan khidmat pelanggan terbaik daripada segi kebersihan dan kesihatan.

“Kedua, saya akan menawarkan khidmat kemanusiaan merentasi sempadan agama serta kaum untuk negeri Pulau Pinang.

“Saya merupakan antara pengasas program pelancongan masjid di Masjid Kapitan Keling yang mana ratusan pelancong asing datang di sini…saya mulakan program tersebut pada tahun 1990.

“Pelbagai dialog dianjurkan secara harmoni bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan, yang itu saya pernah buat, saya harap dapat dimanfaatkan (atas kedudukan saya sebagai) Ahli Majlis MBPP,” katanya dalam nada sederhana.

GOH Huey Ee

Huey Ee, 40, pula memberitahu bahawa beliau dilantik sebagai Ahli Majlis MBPP atas kapasiti Pengerusi NGO Alumni Sidang Wanita Pulau Pinang Sesi Tahun 2022/2023.

“Saya akan teliti Visi Penang2030, meneruskan perancangan pelan-pelan peringkat PBT yang sesuai dengan penduduk Pulau Pinang, yang mana perlu ditambah baik, akan diberi keutamaan sepanjang tempoh saya menjadi Ahli Majlis bagi Jawatankuasa Kerja yang akan ditakrifkan ke atas saya nanti,” jelasnya yang juga seorang peniaga.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN