3,853 bangunan warisan George Town bakal diperiksa secara visual

Admin
20260821 122916(1)

GEORGE TOWN – Sebanyak 3,853 bangunan warisan dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town bakal menjalani pemeriksaan visual secara menyeluruh sebagai langkah proaktif Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi memastikan keselamatan orang awam terus terjamin.

 

Pemeriksaan itu melibatkan 82 Bangunan Warisan Kategori I dan 3,771 Bangunan Warisan Kategori II, susulan kejadian yang melibatkan bangunan warisan di George Town baru-baru ini.

 

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, langkah berkenaan diambil bagi mendapatkan gambaran awal mengenai keadaan fizikal bangunan, selain mengenal pasti kecacatan, kemerosotan atau tanda-tanda kerosakan struktur yang berpotensi menjejaskan keselamatan.

 

Menurut beliau, susulan kejadian di Lebuh Armenian pada 4 Ogos lalu, MBPP telah memperkukuh pemantauan dan pemeriksaan terhadap bangunan warisan, termasuk mengeluarkan 26 notis kepada pemunya tanah atau bangunan berkaitan.

 

“Notis tersebut mengarahkan tindakan sewajarnya diambil bagi memeriksa, membaiki dan membetulkan sebarang kerosakan atau kecacatan yang dikenal pasti.

 

“Sebagai langkah seterusnya, MBPP telah mengadakan perbincangan dengan Institution of Engineers Malaysia (IEM) – Cawangan Pulau Pinang, berhubung cadangan pemeriksaan visual terhadap keseluruhan bangunan warisan terbabit.

 

“MBPP kini sedang mengambil inisiatif untuk melaksanakan proses pelantikan jurutera bertauliah bagi menjalankan pemeriksaan tersebut,” ujarnya dalam kenyataan media hari ini.

 

Dalam perkembangan sama, Mooi Lye memaklumkan bahawa MBPP turut mengambil inisiatif melibatkan syarikat kawalan anai-anai bagi menjalankan pemeriksaan visual terhadap 3,853 bangunan warisan berkenaan.

 

“Pelantikan syarikat kawalan anai-anai itu disasarkan untuk dilaksanakan minggu ini, dengan pemeriksaan memberi tumpuan kepada kehadiran dan serangan anai-anai yang berpotensi menjejaskan struktur serta elemen bangunan”, katanya.

 

Jelas Mooi Lye lagi, hasil pemeriksaan dan laporan yang diterima akan menjadi asas kepada MBPP untuk menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.

 

“Sekiranya dikenal pasti kecacatan, kerosakan atau isu keselamatan yang memerlukan tindakan lanjut, MBPP akan mengeluarkan notis kepada pemunya tanah atau bangunan supaya kerja-kerja pembaikan, pemulihan dan langkah keselamatan dilaksanakan segera, tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta garis panduan yang berkuat kuasa,” katanya lanjut.

 

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian di Lebuh China pada 1 September 2026, Mooi Lye memberitahu bahawa MBPP telah mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan notis kepada pemunya bangunan terbabit supaya pemeriksaan dan kerja pembaikan dilaksanakan dengan segera.

 

“Pemunya bangunan turut memberi komitmen untuk mengambil tindakan serta-merta bagi membaiki dan memastikan bangunan berkenaan berada dalam keadaan selamat,” katanya.

 

Difahamkan dalam kejadian tersebut, seorang wanita mengalami kecederaan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil serta menerima rawatan di sebuah hospital swasta dan pihak MBPP akan terus memantau keadaan mangsa.

 

Menurut Mooi Lye, Kerajaan Negeri dan MBPP sentiasa cakna akan keselamatan orang awam dan ia kekal sebagai keutamaan, tanpa mengetepikan usaha memastikan bangunan warisan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town terus dipelihara, disenggara dan diuruskan dengan sewajarnya.

 

“Sehubungan itu, semua pemunya tanah atau bangunan, pengguna serta pihak berkepentingan diseru memainkan peranan dengan memaklumkan kepada MBPP sekiranya terdapat bangunan yang berada dalam keadaan tidak baik, mempunyai tanda-tanda kerosakan atau berpotensi menjejaskan keselamatan awam,” jelasnya.

 

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Jabatan Konservasi Warisan MBPP di talian +604-287 9000 atau e-mel [email protected] bagi membolehkan pemeriksaan dan siasatan lanjut dilaksanakan dengan segera.