Lexis Suites Pulau Pinang rai kanak-kanak kurang bernasib baik sempena Deepavali

BAYAN LEPAS – Seramai 45 kanak-kanak kurang bernasib baik dari pertubuhan amal Ashrama Ramakrishna dirai dalam satu majlis istimewa anjuran Lexis Suites Pulau Pinang, di sini sebentar tadi.

Pengurus Besarnya, Ben Ho memberitahu bahawa program berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak Lexis Suites yang bertujuan untuk menceriakan kanak-kanak terlibat bersempena sambutan perayaan Hari Deepavali.

“Sesuatu yang amat menyenangkan apabila dapat melihat wajah-wajah ceria kanak-kanak ini yang menikmati masa gembira mereka di sini.

“Kami dari pihak hotel akan terus melakukan yang terbaik untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam memenuhi segala keperluan mereka,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Turut berlangsung adalah persembahan daripada beberapa karektor ‘Superhero’ serta acara-acara permainan yang nyata menceriakan suasana.

Ashrama Ramakrishna terletak di Jalan Scotland, Pulau Pinang yang ditubuhkan sejak tahun 1938 untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS