46 individu dirai, Ketua Menteri anggap CMS ‘jantung’ pembangunan holistik komuniti

Admin
77eb324a d0df 481d b7fc baf07f89c926 KETUA Menteri (tengah) bersama-sama barisan pemimpin lain merakamkan gambar sempena berlangsung Majlis Penghargaan Profesional Akademik dan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang & Kehormatan Negeri Pulau Pinang di sini pada 21 November 2025

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya senantiasa menghargai keupayaan Central Muslim Society (CMS) dalam memainkan peranan secara hoslistik serta berdasarkan keperluan sebenar masyarakat setempat terutama di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

97434b0e f0ad 409e b4c4 826c08e4bbd2
KETUA Menteri

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berpendapat peranan berterusan yang dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan bukan sahaja dalam aspek kebajikan dan agama, malah juga menyumbang kepada agenda pembangunan pendidikan, ekonomi, keusahawanan serta pengukuhan ekonomi setempat.

“Keupayaan CMS untuk mengekalkan peranan aktif dalam pelbagai bidang ini membuktikan kesungguhan pertubuhan tersebut dalam menyantuni keperluan masyarakat secara holistik.

“Sesungguhnya, segala pencapaian dan anugerah yang diraikan pada malam ini akan menjadi teladan kepada generasi muda supaya mereka juga tahu bahawa tidak ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan dan karier,” jelasnya semasa merasmikan Majlis Penghargaan Profesional Akademik dan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang & Kehormatan Negeri Pulau Pinang di sini pada 21 November 2025.

Di samping itu, Kon Yeow berpendapat bahawa usaha NGO tersebut melaksanakan CMS BizReach telah membuka peluang keusahawanan beretika bagi membantu pembangunan perniagaan kecil dan sederhana serta memperkukuh daya tahan ekonomi setempat.

“Langkah konstruktif ini memperlihatkan bagaimana CMS terus menjadi pemangkin kepada pembinaan komuniti yang mapan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

2d92ae79 4313 4871 859b a221b2f067d4
KETUA Menteri (kanan sekali) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Mohamed Hasan (dua dari kanan) dan Abdul Rahman Abdul Kader (dua dari kiri) dalam majlis berkaitan di sini sebentar tadi. 

Selain itu, beliau berpendapat bahawa inisiatif sayap pemuda CMS menubuhkan Community Digital Academy (CDA), dengan kerjasama Penang STEM adalah satu lagi langkah proaktif yang sejajar dengan agenda Penang2030 iaitu untuk melahirkan tenaga mahir dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Buletin Mutiara difahamkan, CMS merupakan sebuah pertubuhan gabungan yang berdiri kukuh di negeri Pulau Pinang sejak lebih 70 tahun lalu.

Pertubuhan gabungan tersebut diasaskan bersama oleh lima NGO daripada komuniti Etnik Kadayanallur Tenkasi, iaitu Persatuan Muslim Bersatu (UMA), Anjuman Himayatul Islam, Persatuan Hidayatul Islam, Persatuan Muslim Kadayanallur dan Persatuan Nurul Islam.

4a41028f b478 4ec7 9445 50c1b8fac867
MOHAMED Hasan

Berucap sebelum itu, Presiden CMS, Mohamed Hasan memberitahu bahawa seramai 46 individu diraikan pada majlis berkaitan termasuk ahli akademik serta profesional yang dikenal pasti serta diiktiraf berbakti kepada negara, negeri dan masyarakat.

Mereka, menurut beliau, termasuk 25 individu yang telah menerima perlbagai Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-84 Yang Dipertua Negeri pada hujung bulan Julai lepas.

“Pada malam ini bukan sahaja menjadi pentas untuk meraikan individu-individu berkenaan, malah diharap terus menjadi sumbu inspirasi kepada generasi muda untuk terus memajukan diri serta menumpahkan khidmat bakti berterusan kepada negara, negeri dan masyarakat setempat,” ulasnya.

9412871f 80e6 4f97 9a7a 00e4fdf4c5cf
ABDUL Rahman Abdul Kader

Turut berucap, Pengerusi Penganjur Majlis Penghargaan Profesional Akademik dan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang & Kehormatan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rahman Abdul Kader.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBSP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Manpal Singh selaku wakil kepada Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Najmudeen Kadir dan Presiden Gabungan Persatuan India Muslim (GAPIEM), Hamid Sultan Jabbar antara tetamu kehormat utama yang hadir pada majlis penghargaan tersebut.

e76486c9 73e9 4a63 8dc3 70f0834cbbab
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan selepas merasmikan Majlis Penghargaan Profesional Akademik dan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang & Kehormatan Negeri Pulau Pinang di sini pada 21 November 2025.

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow memberi respons terhadap syor CMS untuk menamakan jalan atau sebahagian jalan tertentu sebagai Jalan Kadayanallur Tenkasi bagi menghargai sumbangan etnik tersebut dalam pembangunan komuniti setempat selama ini.

“Perkara ini telah dipanjangkan kepada Jawatankuasa Nama-Nama Jalan yang dipengerusikan oleh YB Zairil Khir Johari (Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital) serta Datuk Bandar MBPP (Rajendran) pun akan membawa isu ini.

“Kita pun sudah mengenal pasti jalan berkenaan, setelah diluluskan nanti, akan kita umumkan,” responsnya kepada pemberita tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : SITI NURATIKAH RAHMAT