Peniaga bazar Ramadan melalui JBO@MBPP tidak dikenakan kos penghantaran

GEORGE TOWN – Semua syarikat penghantaran makanan dialu-alukan untuk bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam memperkasakan platform Jom Beli Online@MBPP (JBO@MBPP).

 

Ahli Majlis bagi MBPP, Nicholas Theng Jie Wey berkata, JBO@MBPP yang dilancarkan baru-baru ini bertujuan membantu memperkasakan peniaga-peniaga bazar Ramadan yang dijangka bermula pada 24 April ini.

 

“JBO@MBPP diperkenalkan bukan sahaja menyokong penjaja dan peniaga kecil tempatan dalam memperkasakan perniagaan dalam talian, malah ia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

“Inisiatif ini memberi fokus kepada perniagaan bazar Ramadan yang tidak dapat dijalankan secara fizikal dan tradisional.

 

“MBPP mengutamakan kepentingan semua peniaga dan ingin memberi peluang secara adil, menyeluruh dan inklusif kepada semua 1,553 peniaga bazar Ramadan melalui konsep ‘leave no one behind‘,” jelas Jie Wey dalam satu sidang media di Komtar pagi tadi.

 

Hadir sama, Ahli Majlis Wong Yuee Harng; Pengarah Jabatan Perkhidmatan perbandaran MBPP, Mubarak Junus, dan Timbalan Presiden Liga Muslim, Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed.

 

Dalam pada itu, Shahul Hameed dalam ucapannya memuji langkah MBPP menyediakan platform kepada para penjaja di bahagian pulau.

 

Jelasnya melalui JBO@MBPP ini, kos perkhidmatan penghantaran tidak akan dikenakan kepada para peniaga.

 

“Dari segi kos penghantaran, peniaga tidak akan dipotong sebarang wang untuk penghantaran, kalau jual RM5.00 akan dapat RM5.00, yang lain akan dikenakan bayaran oleh syarikat penghantar kepada pelanggan.

 

“Melalui JBO@MBPP ini juga, ia memberikan peluang kepada semua pihak untuk menjalankan perniagaan di bulan Ramadan nanti,” ujar beliau kepada pihak media.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut orang ramai boleh  menghubugi 016-2004082  atau layari https://forms.gle/3aqSVLooe64KAXCP9.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI