Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyanggah kenyataan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan kini mengabaikan pembangunan di kawasan luar bandar.
Guan Eng berkata, pihak berkaitan sepatutnya melihat fakta sebenar mengenai pembangunan di Pulau Pinang, sebelum membuat tuduhan tanpa asas sebegitu.
“Kawasan pulau Pulau Pinang menerima peruntukan pembangunan RM698,006,996.83 (menyamai 23 peratus), manakala Seberang Perai menerima RM2,379,145,953.56 iaitu 77 peratus perbelanjaan pembangunan negeri untuk tempoh 2008 hingga 2016.
“Mungkin Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) yang lama, mereka (Barisan Nasional, BN) memberikan keutamaan kepada kawasan pulau, tapi Kerajaan Negeri Pakatan, kita berikan lebih (peruntukan pembangunan) di kawasan Seberang Perai yang mana terdapat lebih banyak kawasan luar bandar,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Menurut rekod kewangan negeri, perbelanjaan pembangunan pentadbiran Guan Eng sejak mengambil alih Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008 hingga 2016 direkodkan berjumlah RM3,077,152,950.39, iaitu 23 peratus (RMRM698,006,996.83) untuk bahagian pulau dan 77 peratus lagi (RM2,379,145,953.56) di bahagian Seberang Perai.
Mengikut pecahan, Guan Eng memberitahu, perbelanjaan pembangunan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam tempoh sama di bahagian pulau adalah 40 peratus (RM123,624,580.41), manakala 60 peratus lagi (RM182,045,529.59) di bahagian Seberang Perai.
“Perbelanjaan pembangunan negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk bahagian pulau adalah 36 peratus
(RM173,000,000), manakala 64 peratus lagi (RM311,000,000) adalah di bahagian Seberang Perai.
“Perbelanjaan pembangunan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk bahagian pulau Pinang adalah 18 peratus (RM401, 382, 416.42), manakala 83 peratus lagi (RM1,886,100,423.97) adalah di bahagian Seberang Perai,” katanya.