Kenyataan Menteri bercanggah, Exco persoal kelulusan TP1M sebenar

SUNGAI PINANG – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo baru-baru ini mengarahkan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri untuk menulis secara rasmi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri bagi mengetahui status
pelaksanaan beberapa projek naik taraf yang menggunakan peruntukan daripada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M).

Katanya, pada 19 Ogos lalu melalui berita dalam talian Utusan Online, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mendakwa bahawa pada tahun ini, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM4.4 juta di bawah TPIM untuk menyelenggara enam kawasan perumahan di negeri ini.

“Merujuk kepada jawapan bertulis Tan Sri Noh kepada Ketua Menteri baru-baru ini, kita dapati kelulusan TP1M daripada tahun 2016, satu permohonan pun tidak diluluskan untuk negeri Pulau Pinang, walhal keadaan sebenar bukan sahaja Pulau Pinang bahkan lapan negeri juga tidak diluluskan sebarang TP1M.

“Jadi apabila saya sebut perkara ini, saya bukan sebut Pulau Pinang sahaja, tetapi saya sebut negeri-negeri lain juga termasuk negeri-negeri di bawah Barisan Nasional (BN) juga seperti Kedah, Sarawak, Perlis, Terengganu dan beberapa lagi.

“Adakah TP1M tiada wang lagi?,”soalnya pada sidang media ketika melawat projek menggantikan lif di Taman Desa Selatan di sini.

Hadir sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun dan Pengerusi Badan Pengurusan Taman Desa Selatan, Mohamed Shukor Mohamed Yacob.

Tambah Jagdeep, perkara tersebut penting dan perlu dimaklumkan kepada umum kerana apabila TP1M lulus, Kerajaan Negeri akan membantu penduduk meringankan beban (penduduk) dengan membiayai baki kos 10 peratus bagi rumah kos rendah (KR), dan 30 pertatus bagi rumah kos sederhana rendah (KSR).

“Untuk makluman, TP1M menyediakan dana penyelenggaraan 70 peratus kos bagi KSR dan 90 peratus bagi KR,” maklumnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Dalam pada itu, Jagdeep turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM243,800 kepada penduduk di Taman Desa Selatan bagi menggantikan sebuah unit lif baharu yang rosak.

“Dari tahun 2013 hingga kini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan 64 projek berkaitan lif yang juga bersamaan RM4 juta,” katanya.

Sementara itu, Siew Khim ketika berucap menyatakan bahawa pihaknya bersama-sama Chuan Aun masing-masing menyalurkan RM10,000, manakala penduduk menambah RM28,000 menjadikan kos keseluruhan pembaikan lif berjumlah RM291,800.

Difahamkan kerja-kerja pemasangan akan dimulakan dalam masa terdekat dan siap pada November 2017.