ADUN Air Itam edar kurma, kongsi kemeriahan bulan Ramadan

Admin
JOSEPH Ng Soon Siang (tiga dari kiri) menyampaikan bungkusan kurma kepada anggota bomba dekat Paya Terubong baru-baru ini.

KEHADIRAN bulan mulia, bulan Ramadan turut diraikan meriah bersama-sama masyarakat berbilang bangsa.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang, beliau ingin berkongsi kemeriahan bulan Ramadan dengan mengedarkan buah kurma kepada komuniti Islam setempat.

Bersama-sama pasukan daripada Pusat Khidmat ADUN Air Itam, Soon Siang sendiri turut turun padang menyantuni anggota keselamatan dan penguatkuasaan di sini.

Antara yang dikunjungi, Balai Polis Bandar Baru Air Itam, Balai Polis Air Itam serta Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong.

Selain itu, beliau turut menyerahkan buah kurma kepada kariah Masjid Jamek Al-Qadrie Air Itam dekat Jalan Zoo; surau Kampung Shaik Eusoff dekat Kampung Tengah; surau Sheikh Abdul Qodir Al-Jailani, Kampung Melayu serta beberapa surau di Kampung Pisang dan Kampung Melayu.

Ketika dihubungi, Soon Siang berharap sumbangan buah kurma itu bukan sahaja akan menggembirakan penerima malah dapat mengukuhkan lagi jalinan silaturahim dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di sini.

Malah, beliau turut merancang untuk mengadakan beberapa acara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang pada awal bulan Jun hadapan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN