ADUN Bukit Tambun borong produk makanan tempatan berkualiti, jadikan buah tangan sempena Aidilfitri

Admin
GOH Choon Aik (depan, kiri) menyerahkan buah tangan kepada pengamal media Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri di Komtar pada tengah hari tadi.

MENJELANG sambutan Hari Raya Aidilfitri yang kian kunjung tiba, tiap-tiap orang tentu mempunyai pendekatan tersendiri bagi membantu golongan terpilih yang mungkin kurang bernasib baik semasa mengharungi tempoh pendemik akibat COVID-19.

GOH Choon Aik

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik, beliau memborong barang-barang makanan tertentu yang dihasilkan oleh penduduk di kawasan untuk dijadikan pek cenderamata dan buah tangan kepada rakan serta sekalian tetamu menjelang hari lebaran.

Demikian penjelasan semasa menyerahkan sejumlah pek makanan Aidilfitri kepada Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Yap Lee Ying yang juga Setiausaha Akhbar Kepada YAB Ketua Menteri di Komtar pada tengah hari tadi, untuk diagihkan kepada sekalian pengamal media di sini.

“Di dalam beg atau pek makanan Aidilfitri ini bukan sahaja ada sebekas kurma dan dua bekas kuih raya beraneka jenis, malah turut dimuatkan dengan sebuku belacan Pulau Aman, agar-agar, 1 kilogram (kg) beras pulut susu, keropok udang lipan dan (satu tin) minuman longan.

“Semua produk ini adalah buatan tempatan, yang dihasilkan orang penduduk di sekitar KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Bukit Tambun dan kawasan Parlimen Batu Kawan,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, CHAN KOK KUAN di pejabat Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri pada 5 Mei 2021.

ANTARA produk tempatan yang dijadikan buah tangan Pusat Khidmat Rakyat ADUN Bukit Tambun sempena Aidilfitri kali ini.

Dalam reaksi balas, Lee Ying merakamkan penghargaan kepada Choon Aik kerana tidak melupakan anggota barisan hadapan di sini.

“Mewakili Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, terutama mereka yang menyambut Ramadan dan tidak lama lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, pemberian beg ‘pek makanan raya’ ini adalah sangat dihargai kami,” katanya.

Menerusi sembang santai kira-kira 20 minit, Choon Aik berkata bahawa Aidilfitri ini merupakan kali kedua umat Islam menyambut dalam normal baharu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertentu.

Jadi, katanya lagi, beliau dapat merasai betapa tabahnya umat Islam terutama para pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di KADUN Bukit Tambun dalam mengharungi keadaan ekonomi yang semakin mencabar menjelang perayaan Aidilfitri.

“(Dan) dengan membeli barang-barangan berkualiti dan terpilih buatan tempatan sekitar KADUN Bukit Tambun, secara tidak langsung ini merupakan usaha kecil untuk membantu meningkatkan pendapatan isi rumah para peniaga yang memang mempunyai bakat dalam sektor IKS, selain mempromosi produk-produk eko pelancongan lokal mereka,” jelasnya lagi.

Mengakhiri wawancara, Choon Aik turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri YAB Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi kerana melantik beliau menjadi ahli jawatankuasa di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Komunikasi pada bulan Mac lepas.

“Terlebih dahulu, dengan rasa rendah hati ingin mengucapkan ucapan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri kerana beliau yang memegang portfolio MMK Komunikasi ini telah melantik saya menganggotai jawatankuasa berkaitan.

“Justeru, dalam mesyuarat pertama (yang akan saya sertai) nanti, akan saya cadangkan kaedah membawa dasar-dasar Kerajaan Negeri ke peringkat akar umbi masyarakat.

“Seperti program i-Sejahtera iaitu program insentif kebajikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri hari ini, mesej berkaitan perlu sampai ke peringkat akar umbi terutama sekitar kawasan kampung dan luar bandar.

“Selain itu, menerusi akhbar Buletin Mutiara yang diterbitkan oleh Kerajaan Negeri, kalau boleh selepas ini dicadangkan turut membuat liputan berita berkenaan peringkat akar umbi seperti terutama di luar bandar, seperti kehidupan mereka, tentang aktiviti keusahawanan produk eko-pelancongan lokal yang dihasilkan oleh wanita dan anak muda tempatan mereka,” jelasnya lagi.

Beliau berkata bahawa beliau senantiasa berharap agar negara dan negeri ini segera ‘bebas’ daripada pandemik COVID-19, agar semua pihak dapat kembali bangkit memulihkan kedudukan ekonomi keluarga masing-masing.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar dalam masa terdekat iaitu tahun 2021 ini juga akan berakhir COVID-19 yang kita mengharungi secara bersama.

“Dengan syarat semua pihak mesti mematuhi SOP (prosedur operasi standard) berkaitan yang digariskan oleh pihak Kerajaan, moga-moga Aidilfitri pada tahun hadapan (2022) kita boleh sambut dalam suasana yang lebih bermakna tanpa pandemik (COVID-19) lagi,” jelasnya sambil mengucapkan selamat menjalani ibadah berpuasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di tanah air tercinta ini.

END