ADUN gesa lebih banyak bilik laktasi di tempat awam

hll (7)

BERAPIT –  Kemudahan untuk ibu menyusu di tempat-tempat awam perlu dipertingkat untuk memastikan lebih ramai ibu dapat menyusukan anak secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee berkata, polisi supaya tempat-tempat awam disediakan bilik laktasi adalah perlu.

“Penyusuan susu ibu adalah hadiah pertama dalam hidup seorang bayi dan juga menjadi sumber pemakanan paling lestari.

Setiap titisan susu ibu adalah tanda kasih sayang seorang ibu maka tindakan menyokong penyusuan susu ibu adalah pelaburan masa depan yang lebih sihat dan mampan.

“Oleh itu, perlu ada polisi khusus atau setidaknya memperhebat langkah-langkah wajar bagi membolehkan penyusuan susu ibu dijalankan seperti sokongan di tempat kerja atau mengharamkan promosi susu formula di semua hospital,” ujarnya.

 

hll (1)
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai ‘Umbrella Walk’ di sini baru-baru ini.

 

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2025 anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Berapit di sini pada 16 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Lee Lee memaklumkan bahawa selain menyediakan bilik laktasi di tempat-tempat awam, pengenalan peraturan agar tidak disalah guna bilik yang disediakan juga perlu supaya penyusuan susu ibu dapat dijalankan dalam suasana yang selesa.

“Saya sendiri pernah berada di sebuah bilik laktasi di sebuah institusi, tetapi apabila waktu rehat tengah hari, ramai pekerja masuk dan tidur di dalam bilik tersebut.

“Selain itu, saya kongsikan juga kisah benar, seorang ibu muda yang bekerja sebagai petugas kaunter di salah sebuah hospital swasta yang mana apabila kembali bekerja beliau terpaksa berhenti menyusukan anaknya.

“Bukan kehendak, tetapi beliau tidak dibenarkan meninggalkan kaunter setiap tiga jam untuk mengepam susu, walaupun bekerja di hospital tetapi pandangan orang sekeliling masih negatif seolah-olah keperluan mengepam susu tidak penting.

“Kisah-kisah ini membuktikan bahawa masih banyak ruang dan sokongan diperlukan dalam mewujudkan dasar dan persekitaran yang mesra penyusuan susu ibu,” jelasnya.

 

hll (4)
PARA peserta yang menyertai Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2025 pada 16 Ogos lalu.

 

Tambahnya lagi, sokongan di tempat kerja dengan menetapkan keperluan undang-undang supaya majikan menyediakan masa rehat khas untuk mengepam susu juga perlu walaupun di hospital.

“Di Pulau Pinang, terdapat enam hospital kerajaan yang kesemuanya mencapai 100 peratus status Hospital Rakan Bayi.

“(Dan) hanya tiga hospital swasta sahaja yang disahkan menyediakan sokongan penyusuan susu ibu yang lengkap, bermakna ramai ibu yang bersalin di hospital swasta mungkin tidak mendapat bimbingan penyusuan,” katanya.

 

hll (5)
HENG Lee Lee (depan, tiga dari kiri) turut serta dalam ‘Umbrella Walk’ baru-baru ini.

 

Terdahulu, Lee Lee menyertai ratusan ibu bersama-sama anak dan pasangan dalam acara ‘Umbrella Walk’ sejauh tiga kilometer, kemudiannya diikuti dengan sesi penyusuan susu ibu secara terbuka.

Lebih istimewa, tahun ini kita juga melaksanakan pengumpulan terbuka untuk botol susu terpakai dan pam susu elektrik (sebagai sisa elektronik) untuk dikitar semula.

“(Hal ini kerana), penyusuan susu ibu bukan sahaja sumber makanan yang paling semula jadi malah mengurangkan penggunaan pembungkusan bagi susu formula termasuk mengurangkan pembuangan botol susu plastik.

“Sesuailah dengan tema sambutan program hari ini iaitu ‘Breastfeeding Mom is Eco Warrior’,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan acara pada pagi itu.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADUN