ADUN puji langkah proaktif Kerajaan Negeri siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang dalam menghadapi Monsun Timur Laut yang diramal bermula 11 November hingga Mac 2024.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ke-15 di sini pada 20 November 2023

“Bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut, Unit Pengurusan Bencana (UPB) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri perlu mengambil tindakan sediakan payung sebelum hujan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pembinaan Kolam Takungan Alma.

“Dengan lengkapnya satu lagi infrastruktur yang kritikal ini, saya percaya kita dapat mempertingkatkan daya tahan komuniti kita serta mampu mengadaptasi pada perubahan iklim,” jelas beliau sambil mengesyorkan agar kerja-kerja menyelenggara parit dan sistem saliran dapat disegerakan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memuji sistem Penang Alert dan aplikasi GeoBencana yang diwujudkan di negeri ini.

“Saya lihat UPB (Unit Pengurusan BencanaUPB) ini sebagai satu usaha yang penting dalam mengurus dan menyelaraskan segala aktiviti berkaitan dengan ‘crisis responses and emergency management’.

“Analyzing real-time weather data, allocating resources strategically serta memastikan semua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dilengkapi dengan pelbagai peralatan penting untuk keperluan asas mangsa-mangsa banjir,” jelasnya lagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan pada 7 November lepas memberitahu bahawa tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Ketua Pengarah MetMalaysia antara lain memberitahu bahawa pada fasa akhir Monsun Timur Laut iaitu Februari hingga Mac 2024 dijangkakan meliputi utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu), Sabah, Labuan dan utara Sarawak mengalami kurang hujan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS