Akmal Rizal bangga pasukannya menang perak

AKMAL Rizal Ahmad Rakhli (berbaju merah) dalam sidang media ringkas di sini tadi.

CHERAS, KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak Pulau Pinang memenangi pingat perak selepas tewas 0-2 dengan Terengganu dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur di sini pada 23 September 2022.

Terengganu menang pingat emas, sementara Selangor mendapat pingat gangsa bagi acara tersebut.

Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata bahawa tidak ada mana-mana pihak menjangkakan pasukan di bawah bimbingannya akan pergi sejauh ini.

“Walaupun tewas dalam perlawanan akhir, tetapi (mendapat pingat perak) ini adalah suatu pencapaian yang begitu memuaskan bagi saya sebagai pengendali pasukan (bola sepak SUKMA) Pulau Pinang,

“Ini kerana, tidak ada mana-mana pihak meletakkan sasaran untuk kami ke perlawanan akhir, tetapi pasukan kami bekerja keras setiap hari yang mana para pemain memberikan komitmen terbaik dalam setiap perlawanan.

“Dan, Alhamdulillah kita telah sampai ke perlawanan akhir dan dalam perlawanan akhir inilah yang akan berlaku jika kita melakukan kesilapan-kesilapan (sementara) pemain Terengganu memang kita tahu lebih baik teknikal dan teknikal mereka,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

“Apapun, saya bersyukur kerana berjaya membawa pemain Pulau Pinang merasai bagaimana nak bermain di perlawanan akhir…buat yang terbaik,” ujarnya.

Baru empat tahun dilantik sebagai ketuai jurulatih skuad bola sepak SUKMA Pulau Pinang, Akmal Rizal juga menganggap kejayaan membawa pasukan ke saingan akhir merupakan pencapaian terbaik buat dirinya.

Tahniah Pulau Pinang!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MSNPP