Amal normal baharu ibadah puasa pada fasa peralihan endemik

Admin

BATU MAUNG – Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain mengingatkan masyarakat  Pulau Pinang agar terus mengamalkan normal ketika menjalankan ibadah puasa dalam fasa peralihan endemik.

 

Katanya, kadar kes terkini masih lagi berada pada tahap yang tinggi dan rakyat masih perlu berwaspada.

 

“Kita faham ramai yang rindukan suasana Ramadan seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun sekarang kes masih tinggi dan aspek kebersihan masih perlu diutamakan walaupun memasuki fasa peralihan endemik.

 

“Kita juga masih dapat lihat disekeliling kita ada yang masih masuk keluar hospital akibat COVID-19.

 

“Bukan setakat itu, bahkan masih ada kes-kes kematian, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ini menunjukkan kita masih menjaga kawalan kendiri pada tahap maksimum,” ujar Abdul Halim ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Kepada Kariah Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung, semalam.

 

Hadir sama, Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD) Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan pengerusi-pengerusi masjid, surau dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlibat.

 

Tambah Abdul Halim, COVID-19 juga merupakan satu bentuk ujian ekoran banyak nyawa menjadi korban dan ia mengingatkan tentang perihal kematian yang digalakkan untuk diingati oleh individu beragama Islam.

 

“Angkat kematian lebih 30,000 ini seolah-olah negara yang berperang dan ini menjadi satu ujian dan pengajaran kepada kita semua,” jelas beliau yang juga ADUN Batu Maung.

 

Pada majlis tersebut, lima buah masjid, 22 surau di DUN Batu Maung menerima sumbangan mengimarahkan Ramadan daripada Abdul Halim.

 

Selain itu, lapan kawasan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) beragama Islam turut menerima sumbangan sama.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD