GEORGE TOWN – St. John Ambulans Malaysia (SJAM) Pulau Pinang mencatat sejarah baharu apabila melancarkan ambulans elektrik (EV) pertama di Malaysia yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri TYT Tun Ramli Ngah Talib sempena Majlis Perbarisan Tahunan SJAM Negeri di sini hari ini.
Pemerintah Agung SJAM, Datuk Lai See Ming berkata, pencapaian bersejarah itu bukan sahaja membanggakan seluruh warga St. John malah menjadi detik penting buat negara dalam usaha memperkukuh kecekapan perkhidmatan kecemasan seiring pembangunan teknologi hijau.
Selain kejayaan perbarisan Hari Kebangsaan dan khidmat komuniti yang konsisten, SJAM terus dekat di hati rakyat melalui rawatan kecemasan, pendidikan resusitasi kardiopulmonari (CPR) serta pemasangan lebih 200 alat defibrilator luaran automatik (AED) di seluruh negara dengan sokongan rakan dermawan.
“Malah pada tahun ini sahaja, SJAM telah memberi respons kepada 20,764 kes kecemasan di seluruh negara,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah memperbaharui kontrak SJAM untuk menyediakan perkhidmatan ambulans di 10 lokasi utama negara, sekali gus membuktikan keyakinan terhadap keupayaan organisasi sukarela itu.
Yang Dipertua SJAM Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Syed Mohamad Syed Murtaza dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan perbarisan tahunan berkenaan yang menjadi platform penting untuk meningkatkan disiplin serta kesiapsiagaan anggota SJAM.

Pada majlis sama, Syed Mohamad turut merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Dipertua Negeri atas pelantikan sebagai Penaung Negeri SJAM Pulau Pinang, serta menyifatkan kepimpinan beliau akan membawa organisasi berusia 89 tahun itu ke tahap lebih cemerlang.
Pelancaran ambulans EV yang disumbang sepenuhnya oleh Yayasan Bumiputra Pulau Pinang membuktikan keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar selain memperkukuh kesiapsiagaan perkhidmatan kecemasan.
“Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan perkhidmatan SJAM pada masa hadapan,” jelasnya.

Sementara itu, Pemerintah Negeri SJAM Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Yee Thiam Sun berkata, beliau berbangga apabila organisasi tersebut menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi EMS Angels Platinum Award dalam bidang rawatan strok.
“Di samping itu, SJAM Pulau Pinang juga giat menerapkan program kesedaran FAST Hero bagi mendidik masyarakat mengenal pasti tanda awal serangan angin ahmar.
“Antara pencapaian lain termasuk kemenangan berturut-turut dalam pertandingan perbarisan Hari Kebangsaan 2024 dan 2025, pencapaian cemerlang dalam kuiz kebangsaan SJAM serta penganjuran Konvensyen Kebangsaan SJAM 2024.
“SJAM Pulau Pinang juga meneruskan khidmat komuniti melalui program derma darah yang menyumbang lebih 2,000 pain darah dan lebih 5,000 jam sukarelawan semasa pandemik COVID-19,” ujarnya.
Dalam majlis sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada anggota dan pegawai yang menerima anugerah khidmat lama, termasuk penerima Pingat Ultra Long Service Extension, Tan Hai Keat, yang menabur bakti selama 50 tahun.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan SJAM terletak pada semangat kesukarelawanan dan solidariti anggotanya selaras dengan moto organisasi, Pro Utilitate Hominum – In the Service of Humanity.

Terdahulu, Ramli yang diiringi isteri, YM Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menyempurnakan istiadat pemeriksaan kawalan kehormat utama dengan penglibatan 168 kadet dari sembilan buah sekolah menengah sejurus selepas beliau menerima Darjah Setia Utama St. John Ambulan Pulau Pinang di sini.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin antara yang turut serta dalam majlis berkaitan.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN