ANGKASA harap koperasi lantik agen zakat, saling bekerjasama dengan ZPP

BERTAM – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menggalakkan koperasi-koperasi untuk saling bekerjasama dengan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dengan melantik agen kutipan zakat di kalangan anggota.

Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Zakaria Othman berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Ziarah Asnaf Bersama ZPP di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas pada pagi 20 September 2018.

“Saya mewakili ANGKASA amat menggalakkan koperasi-koperasi di seluruh negeri Pulau Pinang menyokong penuh program ini dan bersama-sama kita pupuk amalan berzakat dalam koperasi.

“Dengan program kesedaran seumpama ini, saya berharap koperasi-koperasi dapatlah memulakan usaha melantik agen kutipan zakat, bagi pihak Zakat Pulau Pinang,” jelasnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Sazali Hussein hadir merasmikan majlis itu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Mohd. Jamil Othman; Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah ANGKASA, Azhar Hamzah; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Kutipan dan Pemasaran ZPP, Mohamad Fuad Md Isa dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Agihan dan Pembangunan Masyarakat ZPP, Mohamad Kairi Ghazali.

Menurut Zakaria, program selama dua hari ini adalah buat julung kalinya diadakan oleh ANGKASA bersama-sama ZPP, demi mendedahkan mengenai tatacara pentadbiran koperasi serta amalan zakat kepada para peserta.

Sazali, dalam ucapan perasmian program memberitahu saban tahun kira-kira RM27.1 juta atau satu pertiga hasil kutipan zakat adalah diagihkan kepada pelajar-pelajar yang layak di bawah asnaf Fi Sabilillah.

“Sebenarnya ZPP bukan hanya kutip zakat sahaja, jadi pada hari ini kita (ZPP) akan membawa para peserta program ini ke empat tempat yang menerima agigan zakat kita.

“Contoh agihan ZPP antaranya RM27.1 juta ini untuk program pendidikan sahaja, iaitu satu pertiga daripada sumbangan zakat tuan-tuan dan puan-puan telah kita agihkan kepada pelajar-pelajar di dalam dan luar negara.

“Sohor kini, terbaru adalah pusat-pusat latihan dan kemahiran ada yang datang ke ZPP untuk mendapatkan penajaan zakat bagi melatih golongan asnaf supaya selepas habis belajar nanti berpeluang mendapat pekerjaan ikut kemahiran mereka,” jelasnya.

Sehingga 19 September, Sazali memberitahu jumlah kutipan zakat adalah kira-kira RM79.8 juta, walaupun ZPP mensasarkan RM100 juta pada 31 Disember depan.

Selepas majlis perasmian program, rombongan peserta dibawa melihat Pusat Dialisis Tasek Gelugor, Bengkel Jahitan dan Zakat Mart, Rumah Warga Emas MAINPP Darul Hannan dan Asrama Anak Asnaf Inapan Kasih Sayang.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB