Ir. A. Rajendran dilantik Setiausaha Bandaraya berkuat kuasa 1 Januari 2022

PADANG KOTA – Mantan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran dilantik sebagai Setiausaha Bandaraya MBPP berkuat kuasa hari ini.

 


Lantikan tersebut adalah bagi menggantikan Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali yang menamatkan kontrak perkhidmatannya semalam.

 

 

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, pada 21 Disember 2021, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah membuat keputusan bagi mengisi kekosongan Addnan yang tamat kontrak sebagai Setiausaha Bandaraya dengan melantik Rajenderan.

 

 

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Addnan yang telah berkhidmat di MBPP kira-kira 34 tahun.

 

 

“Beliau merupakan seorang pegawai yang berdedikasi serta bertanggungjawab, dan membantu Datuk Bandar dalam melaksanakan keputusan-keputusan Majlis.

 

 

“Serentak itu, saya juga yakin dengan keupayaan Rajendran dalam mengisi jawatan Setiausaha Bandaraya, yang mana beliau telah berkhidmat di MBPP selama 36 tahun iaitu sejak tahun 1986, ujarnya dalam satu sidang media pada penganjuran program City Walk Kali Ke-10 Sempena Sambutan Hari Bandaraya dekat Dewan Bandaraya, Padang Kota di sini pagi tadi.

 

 

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang;

 

拉贞德兰出任槟岛市厅秘书。

Kon Yeow dalam pada itu berharap Rajendran akan dapat menyokong Kerajaan Negeri dalam melaksanakan misi dan visi MBPP dalam tempoh perkhidmatan beliau.

 

 

Bercakap kepada media, Rajendran menyatakan bahawa lantikan tersebut merupakan satu penghormatan kepada beliau setelah lama berkhidmat dalam organisasi kerajaan tempatan tersebut.

 

 

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri, barisan Exco dan Datuk Bandar yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas jawatan ini.

 

 

“Saya juga tahu selepas ini, banyak cabaran perlu saya hadapi, namun dengan kerajinan, keteguhan dan hati yang murni kita akan dapat mencapai sebarang kebaikan untuk MBPP,” jelasnya yang memasuki usia 59 tahun pada tahun ini.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : DARWINA MOHD. DAUD