AIR ITAM – Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man menyeru supaya amalan sumbangan wakaf dapat dibudayakan dalam masyarakat Islam di Pulau Pinang.
Beliau berkata demikian pada penganjuran Hari Wakaf Produktif Pulau Pinang 2015 di Masjid Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Jelasnya, wakaf adalah suatu model ekonomi Islam untuk berkongsi kekayaan dan ia tidak terhad sumbangan daripada golongan berada sahaja, bahkan golongan kurang berada juga digalakkan menyumbang dari harta-harta yang mereka miliki.
“Konsep wakaf ini mudah, serendah RM5 sesiapa sahaja boleh menyumbang wakaf kerana Allah S.W.T dan ia adalah salah satu amal jariah yang sangat dituntut dalam Islam,” katanya ketika berucap pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.
Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas hadir menyempurnakan majlis pengagihan dana wakaf.
Turut sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus dan Sahibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Mufti Negeri Pulau Pinang.
Serentak itu, Mohd. Salleh juga menggesa supaya umum mengubah persepsi masyarakat yang hanya melihat aset wakaf dari perspektif agama semata-mata dan memperluaskannya sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi semasa.
Jelasnya, agihan sumbangan wakaf tersebut dilaksanakan saban tahun sebagai sebahagian kerangka amalan-amalan terbaik (best practices) kod urus tadbir jawatankuasa wakaf di MAINPP.
“Tahun 2014, MAINPP menjana kira-kira RM3.9 juta hasil pengurusan harta wakaf seluruh Pulau Pinang yang merangkumi wakaf khas, wakaf am dan wakaf keluarga.
“Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM1.25 juta diagihkan kepada 68 organisasi bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan Islam di Pulau Pinang,” ujar beliau.
Tambah Mohd. Salleh, MAINPP juga mengumpul dana bagi produk-produk dana wakaf yang melibatkan pembelian tanah, pembangunan pendidikan dan kemasyarakatan.
“MAINPP juga mensasarkan pembelian tiga buah bangunan iaitu masing-masing di Daerah Timur Laut, Daerah Barat Daya dan Daerah Seberang Perai Tengah untuk pembangunan pendidikan serta kemasyarakatan dengan nilai RM3.429 juta,” jelasnya.
Terdahulu, MAINPP juga telah membeli tiga bangunan hasil dana wakaf di Taman Selat, Lebuh Chulia dan Bandar Perda dengan nilai RM2.297 juta.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan wakaf boleh hadir ke kaunter MAINPP atau layari laman sesawang, www. danawakaf.com. Keterangan lanjut sila hubungi MAINPP di talian 04 – 226 0305 / 0312 atau hadir ke pejabat MAINPP di Tingkat 8 & 9, Menara Umno, 128, Jalan Macalister.
} else {