JAWI – Masalah rabun dalam kalangan kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, berdasarkan kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2016 menunjukkan bahawa 10 peratus daripada kanak-kanak di negara ini mengalami rabun jauh tanpa disedari.
“Keadaan ini boleh menjejaskan tumpuan mereka di dalam kelas dan memberi kesan langsung terhadap pencapaian akademik.
“Program bantuan cermin mata ini diharap dapat membantu murid-murid melihat dengan lebih jelas dan belajar dengan lebih baik.
“Ia juga sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa, terutamanya daripada kalangan keluarga asnaf dan B40.
“Inisiatif ini adalah selari dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan akses pendidikan yang lebih inklusif dan saksama di bawah Visi Penang2030,” ujarnya.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata demikian pada Program Bantuan Cermin Mata Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, Simpang Ampat di sini pagi tadi.
Pada majlis tersebut, seramai 500 pelajar sekolah rendah di daerah SPS menerima cermin mata sumbangan Yayasan Sahabat Bina Negara dan Etiqa General Takaful.
“Jumlah keseluruhan bagi bantuan ini di Pulau Pinang adalah RM500,000 (dan) daripada jumlah ini, RM475,000 disumbangkan melalui Wakalah Zakat Etiqa General Takaful, manakala RM25,000 daripada Yayasan Sahabat Bina Negara.
“Program ini telah memberi manfaat kepada 2,500 murid di seluruh negeri, dengan setiap daerah menerima RM100,000 untuk membantu 500 murid yang memerlukan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD