Asrama pekerja asing, bantahan lokasi bukannya konsep

img 20240202 wa0031

GEORGE TOWN – Bantahan yang diterima melalui Jawatankuasa Bantahan Pembinaan Asrama Pekerja Asing adalah mengenai lokasi pembangunan dan bukannya konsep membangunkan penempatan berkenaan.

 

Demikian merupakan respons Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika menjawab persoalan dikemukakan pihak media berhubung penyerahan memorandum daripada beberapa pihak sebelum ini berhubung pembinaan asrama pekerja asing di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas sebelum ini.

 

Isu yang dibangkitkan oleh mereka adalah berhubung isu sosial dan trafik (di kawasan yang dicadangkan) sekiranya kemasukan pekerja asing (ke kawasan itu) dalam bilangan yang ramai.

 

“Setelah perbincangan, perkara tersebut diserahkan kepada pihak pemaju yang mencadangkan pembangunan berkenaan dan juga jawatankuasa bantahan untuk mengambil tindakan sewajarnya,’’ jelasnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

 

Terdahulu, Kon Yeow memaklumkan bahawa beliau mengadakan pertemuan bersama-sama Jawatankuasa Bantahan Pembinaan Asrama Pekerja Asing yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz dan pemaju yang mencadangkan projek pembangunan asrama pekerja asing.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa permohonan kebenaran merancang dan isu tanah telah dikemukakan kepada pihak majlis bandaraya namun ia masih dalam pertimbangan dan belum diluluskan.

 

“Manakala, satu lagi projek (pembangunan penempatan pekerja asing) berdekatan telah diluluskan kebenaran merancang tetapi ada syarat-syarat yang tidak dipatuhi dan (projek ini) belumpun dilaksanakan lagi,” ujarnya.

 

Menurut Kon Yeow, sebarang permohonan pembangunan berkaitan kini perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa perancangan bandar iaitu pihak majlis bandaraya.

 

“Manakala, pihak Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) hanya terlibat sekiranya terdapat pelingkungan semula (persempadanan semula) di kawasan pembangunan yang dirancang tersebut,” katanya.

 

Kon Yeow juga menyambut baik cadangan untuk memasukkan penyediaan penempatan pekerja asing di dalam draf Rancangan Tempatan akan datang sebagaimana dinyatakan pihak media.

 

“Ia adalah sangat baik kerana sebarang pembangunan projek yang sesuai dengan kegunaan tanah akan membawa impak kepada komuniti setempat dan juga perubahan landskap di kawasan tersebut,’’ ulasnya lanjut.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD