Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri dalam rangka menjalankan audit terhadap Zakat Pulau Pinang (ZPP) bagi memastikan pengurusan institusi berkenaan diurus tadbir secara telus, cekap dan akauntabel, ujar Dato’ Abdul Malik Abul Kassim di sini baru-baru ini.
Abdul Malik selaku Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna berkata, perkara tersebut diputuskan ekoran timbul pelbagai aduan dan rungutan berhubung sistem pengurusan ZPP baru-baru ini.
“Lanjutan daripada aduan dan rungutan tersebut, saya selaku Exco bertanggungjawab di atas semua urusan agama Islam di negeri ini telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak berkaitan.
“Kita telah pun mendapat persetujuan daripada Yang diPertua MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang), Dato’ Mohd. Salleh Man untuk menjalankan audit berkenaan.
“Pihak Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Kewangan Negeri akan menjalankannya (audit) pada kadar segera,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Menurut Abdul Malik, demi menambahbaik institusi terbabit pada masa hadapan, Kerajaan Negeri melalui MAINPP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lanjut setelah memperoleh laporan lengkap kelak.
“ Sekiranya perlu, audit forensik turut akan dijalankan.
“Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada laporan lengkap yang bakal diperoleh nanti,” tegas Abdul Malik.
if (document.currentScript) {