Aviatron nilai pelaburan tinggi, buka 300 peluang kerja mahir

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


BATU KA WAN – Anak syarikat Singapore Aerospace Manufacturing Pt. Limited (SAM) yang merupakan syarikat pembuatan aksesori kapal terbang Singapura, Aviatron Sdn. Bhd. (Aviatron) membuka industrinya di Taman Perindustrian Batu Kawan, Seberang Perai Tengah (SPT) di sini baru-baru ini.

Berucap pada majlis itu, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, industri bernilai RM500 juta itu membuka 300 lagi peluang pekerjaan mahir serta akan melimpah pengalaman teknologi berprestasi tinggi di negeri ini.

“Industri pembuatan kapal terbang akan menjadi satu lagi enjin pembangunan bagi Pulau Pinang dan dengan kehadiran SAM di sini, saya yakin industri pembuatan kapal terbang yang lain turut akan melabur di Pulau Pinang,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed merasmikan majlis pembukaan industri aksesori tersebut.

Hadir sama, Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Pelaksana Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq, Philip Yeow (Pengerusi SAM), Loh Chuk Yam (Pengarah SAM) dan Loo Lee Lian (Pengurus Besar investPenang, iP).

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berharap kehadiran Aviatron akan mereputasi lagi bakat tenaga mahir di negeri ini melalui kolaborasi dengan institusi berwajib sedia ada, iaitu Institut Teknikal Japan-Malaysia (JMTI) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC).

Dalam pada itu, Mustapa berkata, beliau pada empat tahun lepas pergi ke Singapura untuk mempelawa SAM melabur di negara ini.

“Saya sangat bangga apabila melihat Aviatron beroperasi sangat baik di sini (Pulau Pinang) sejak dimajukan tiga tahun lepas…saya mahu melihat industri ini terus berkembang di Pulau Pinang.

“Untuk meningkatkan pendapatan, perlu menukarkan kreativiti, perlu meningkatkan persaingan dan perlu meningkatkan bakat kemajuan para pekerja kita dulu,” ujar beliau semasa merasmikan majlis pembukaan industri tersebut.

Justeru, Mustapa berkata, kementeriannya melalui Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) akan terus memberi sokongan ke arah mengembangkan industri pelaburan berprestasi tinggi negara, termasuk di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu bahawa pelaburan langsung asing (FDI) negara pada tahun lepas adalah sebanyak RM38,774 juta.

Angka itu menunjukkan FDI negara meningkat 24 peratus berbanding RM31,116 juta yang direkodkan pada tahun 2012.

Manakala, FDI Pulau Pinang pula direkodkan paling tinggi dalam tempoh antara tahun 2010 hingga bulan Ogos tahun lepas, berbanding negeri-negeri lain, iaitu sebanyak RM19.7 bilion.

Jumlah itu hampir menyamai 20 peratus daripada keseluruhan FDI negara dalam tempoh serupa.

Pembukaan industri Aviatron di Pulau Pinang sekaligus direkodkan sebagai pertama kali industri pembuatan aksesori kapal terbang serupa di negara ini.

Aksesori dihasilkan Aviatron sekarang termasuk yang diguna pakai dalam pembuatan kapal terbang terkenal dunia, iaitu jenis Boeing 787, Airbus 350, Bombardier C-Series dan Mitsubishi Regional Jet.

Jumlah pelaburan Aviatron untuk fasa pertama dalam tempoh tiga tahun ini bernilai RM200 juta.

Pelaburan Aviatron untuk fasa kedua dan ketiga dalam tempoh tiga tahun berikutnya pula masing-masing berjumlah RM200 juta dan RM100 juta.

Guan Eng berkata, pembangunan fasiliti Aviatron di kawasan pulau dan Seberang Perai, di sini akan melonjak pelaburan terbaru kira-kira RM500 juta dalam mengembangkan prospek industri pembuatan aksesori kapal terbang di negeri ini nanti.