Ayuh meriahkan perasmian APMG Penang 2018, 8 September ini

Admin

GEORGE TOWN – Orang ramai dijemput untuk turut serta memeriahkan Majlis Perasmian Asia Pasific Masters Games (APMG) Penang 2018 yang akan berlangsung 8 September ini bertempat di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang pada sidang media sebentar tadi berkata, pihaknya mensasarkan sejumlah 20,000 pengunjung termasuk para atlet dari 64 buah negara akan turut menyertai temasya bersejarah tersebut.

Kita mengalu-alukan semua rakyat Pulau Pinang untuk sama-sama meraikan kemeriahan acara perasmian ini yang bakal menjadi sejarah bermakna buat negeri dan kita semua.

Acara pembukaan ini adalah secara percuma termasuk kesemua 22 acara sukan yang dipertandingkan juga kemasukan adalah secara percuma, ayuh ramai-ramai memeriahkan acara-acara ini terutamanya ketika perasmian nanti.

Pelbagai program menarik telah diatur sepanjang perasmian berlangsung antaranya persembahan pancaragam sekolah, nyanyian lagu Beyond The Games, persembahan seni tari oleh 600 pelajar sekolah yang membawa props rama-rama dan persembahan Sound of Malaysia VS Drumline.

Selain itu, dua jaguh atlet negara kelahiran Pulau Pinang iaitu Datuk Zaiton Othman dan Cheng Chu Sian akan mengetuai upacara bagi menyalakan obor APMG ini…. seterusnya para pengunjung boleh menikmati persembahan percikan bunga api pada malam tersebut,” ujarnya sambil memaklumkan bahawa acara perasmian akan dimulakan seawal jam 7 malam dan dijangka berakhir kira-kira 10.30 malam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan MBPP, Mohamed Akbar Mustapha.

Difahamkan, antara tetamu kehormat lain yang bakal menyerikan majlis adalah Tuan Yang Dipertua (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Difahamkan, bagi memeriahkan lagi acara tersebut, seramai kira-kira 2,000 pelari akan memulakan Larian Obor APMG seawal jam 6.00 petang bermula di Padang Kota Lama seterusnya menuju ke Dewan Bandaraya.

Serentak itu, pada sidang media yang sama, Tung Seang turut mengumumkan penganjuran acara Fun Walk ‘Road To Opening Ceremony APMG Penang 2018.

Orang ramai dijemput mengambil bahagian dalam acara ini yang akan bermula di Padang Brown menuju ke Dewan Bandaraya.

Kita menjangkakan kira-kira 1,500 peserta… di mana acara ini akan bermula kira-kira jam 6.30 petang dan tiba 7 malam (Dewan Bandaraya) dengan jarak perjalanan adalah 800 meter.

Yuran penyertaan adalah sebanyak RM5 untuk pelajar berumur di antara 10 hingga 19 tahun dan RM10 untuk dewasa (20 tahun ke atas).

Setiap peserta yang berjaya sampai ke sana akan diberikan medal dan ditempatkan di tempat duduk khas yang telah disediakan kepada mereka bagi sama-sama memeriahkan acara perasmian sejurus selepas itu,” ujarnya.

Bagi yang berminat, pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang http://www.actifestyle.com/events/APMGFunWalk.