B40 lokal boleh jalani kuarantin di Hotel Mei mulai 1 Oktober – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (dua dari kiri) bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri melawat kamar Hotel Mei yang bakal ditukar guna menjadi PKRCS di sini mulai 1 Oktober depan.

GEORGE TOWN – Mulai 1 Oktober ini, Hotel Mei dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota bakal dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) dengan menawarkan penempatan sementara secara percuma kepada penduduk lokal dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

SESI telesidang Ketua Menteri bersama-sama beberapa pemegang taruh pagi ini bagi membincangkan isu-isu teknikal sebelum pengoperasian PKRCS di Hotel Mei di sini.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menzahirkan penghargaan kepada pihak Crisis Relief Services and Training Berhad (CREST) yang menawarkan pembiayaan kira-kira RM1.7 juta untuk pengoperasian PKRCS di sini bagi tempoh tiga bulan.

“Rakyat Malaysia B40 yang sah positif COVID-19 bagi Kategori 1 dan 2 akan ditempatkan di sini (sekiranya layak dan atas kerelaan selain menjalani proses kuarantin di rumah kini) kerana didapati adalah tidak sesuai untuk mereka menjalani kuarantin di rumah ataupun tinggal bersama-sama golongan berisiko bawah satu bumbung sama.

“Pada kesempatan ini, ingin saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, JKNPP (Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang), CREST, serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penubuhan PKRCS di Hotel Mei.

“Pada peringkat permulaan (pengoperasian), mungkin PKRCS di sini tidak penuh pesakit COVID-19 (Kategori 1 dan 2), tetapi kita (Pihak Berkuasa Negeri) perlu membuat persediaaan atas kemungkinan yang akan berlaku pada masa hadapan, jika diperlukan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi selepas membuat lawatan ke tapak PKRCS Hotel Mei pada 18 September 2021.

HOTEL Mei terletak dalam KADUN Padang Kota.

Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Pengarah Kanan JKNPP, Dr. S. Gunenthira Rao turut serta.

Hadir sama, beberapa wakil CREST, antaranya Cheong Chee Keen (Pengarah pertubuhan beroperasi di Kuala Lumpur yang hadir secara online), Dr. Ng Chen Chuan (Ketua Klinikal), Felix Chong (Ketua Bukan Klinikal) dan Pastor Rev Ronald Yap (wakil Gereja Methodist Wesley).

Turut mengiringi, pemilik Hotel Mei, Datuk Cheng Mei Man; John Kim (pengurus hotel) dan Harry Chew (pengurus komunikasi korporat hotel).

Terdahulu, JKNPP dalam surat rasmi bertarikh 14 September 2021 memaklumkan bahawa Hotel Mei memenuhi kriteria dan pengoperasian PKRCS sebagaimana dinyatakan dalam Garis Panduan Annex 32b Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 24 Februari lepas.

Difahamkan, Hotel Mei menyediakan 62 bilik untuk pesakit COVID-19 Kategori 1 dan 2 berusia antara dua tahun hingga 60 tahun yang menjalani kuarantin diri.

Pada satu-satu masa, segala fasiliti PKRCS di Hotel Mei mampu menampung kapasiti maksimum pesakit COVID-19 seramai 147 orang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN