Bajet 2024 Pusat, Ketua Menteri harap ekosistem pelaburan E&E Pulau Pinang kian kukuh

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di Dewan Seri Pinang di sini pada 14 Oktober 2023.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Bajet 2024 Pusat akan menjadikan Pulau Pinang sebagai enjin penggerak utama pelaburan berkaitan sektor elektrik dan elektronik (E&E) bagi Wilayah Koridor Utara (NCIA) serta bukan bentuk persaingan pelaburan dengan negeri Kedah dan Perak.

“Dalam Bajet 2024 disebut juga bahawa Pulau Pinang dan Kulim (Kedah) sudah menjadi kawasan industri E&E yang penting, dan Kerajaan (Persekutuan) berhasrat membawa limpahan pelaburan ini ke kawasan Perak Utara.

“Bagi kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) ini bukan suatu persaingan…jadi dengan limpahan pelaburan ke Perak Utara, ia sebenarnya memperkukuhkan ekosistem kita dan memperluaskan rantau industri kita (di Utara Semenanjung Malaysia terutama Pulau Pinang,” jelasnya kepada pemberita seusai Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang Dan Pingat Kehormat Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang pada 14 Oktober 2023.

Semalam, Perdana Menteri dalam perbentangan Bajet 2024 antara lain mengumumkan Kerajaan Persekutuan hari ini akan menghimpunkan syarikat terkemuka dunia dalam sektor E&E di kawasan perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park (Kedah) di samping cadangan membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, Perak Utara. Turut diumumkan adalah langkah permulaan dengan memberi galakan cukai pelaburan secara berperingkat (tiering) dalam bentuk elaun cukai pelaburan sebanyak 70 peratus atau 100 peratus.

Mengulas mengenai kedua-dua perkara itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa perkara yang diumumkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam dijangka akan merancakkan kemasukkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik ke Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memberitahu bahawa beliau berasa ‘sedikit kecewa’ kerana projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dekat Bayan Lepas yang diumumkan peringkat Kerajaan Persekutuan sebelum ini, mungkin hanya akan bermula pada bulan September 2024.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow berkata bahawa pihaknya belum mendapat perincian lanjut berkaitan kaedah pembiayaan bagi projek transit aliran ringan (LRT) George Town ke Seberang Perai dengan anggaran awal kira-kira RM10 bilion tersebut sebagaimana dalam pengumuman belanjawan Persekutuan semalam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & DARWINA MOHD. DAUD
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD