Baki ujian PSC-19, keutamaan kepada penjawat awam – Jagdeep

Admin
JAGDEEP Singh Deo (kanan) mendapatkan maklum balas daripada wakil anggota barisan hadapan kesihatan mengenai pelaksanaan PSC-19 yang dianjurkan secara percuma oleh Kerajaan Negeri hari ini, pagi tadi di sini.

SEBERANG JAYA – Penjawat awam akan diberi keutamaan menjalani ujian calitan dengan menggunakan kaedah RTK-Ag secara percuma sekiranya masih ada baki kuota asal 40,000 sasaran individu menerusi program saringan massa, Penang Saring COVID-19 (PSC-19).

JAGDEEP Singh Deo

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa sehingga semalam (21 Ogos 2021) seramai 44,448 individu telah membuat pendaftaran menerusi sesawang https://penangsaring.selangkah.my/; sementara 27,959 individu telahpun menjalani ujian calitan.

Beliau berkata demikian semasa meninjau pelaksanaan PSC-19 di lokasi ke-43 dan terakhir dekat Taman Camelia, Bandar Perda di sini pada pagi ini.

“Pada hari ini seramai 1,200 pendaftaran yang mana sehingga jam 9:30 pagi hampir 200 sudah menjalani ujian calitan secara percuma.

“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri dalam kita memerangi COVID-19…. penyertaan secara keseluruhannya begitu menggalakkan.

“Kalau masih ada baki (kit RTK-Ag), akan kita serahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri kerana ada penjawat awam di KOMTAR dan lain-lain tempat juga menunggu (masa untuk membuat ujian calitan), mereka akan diberikan keutamaan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mahmud; dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad turut sertai sidang media ringkas di sini tadi.

JAGDEEP Singh Deo (duduk) turut mengambil kesempatan menjalani PSC-19 sambil diperhatikan oleh Rozali Mohamud (berdiri, kanan) di sini pada pagi tadi.

Sementara itu, Rozali memberitahu penganjuran PSC-19 secara percuma telah memberi manfaat kepada 2,600 kakitangan MBPP setakat ini.

“Mereka (kakitangan MBSP) diminta datang ke tapak penganjuran PSC-19 yang berdekatan dengan tempat kerja mereka.

“Saya menekankan mereka mesti melakukan saringan, kerana kalau mereka telah didapati positif (COVID-19), mereka akan ikuti ujian PCR dan kalau positif juga mereka, akan diasingkan pada peringkat awal lagi,” jelasnya.

Terdahulu, pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan pelaksanaan PSC-19 secara percuma bermula 5 Julai 2021 dengan sasaran penyertaan 40,000 individu meliputi kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Pinang dengan melibatkan pembiayaan kira-kira RM3.52 juta.

Dalam kenyataan berasingan, Jagdeep sebagai Exco pelaksana program tersebut berkata tujuan PSC-19 adalah untuk menjejaki ‘pembawa senyap’ wabak COVID-19 terutama mereka yang tidak mempunyai sebarang gejala, untuk tindakan rawatan susulan daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya lagi, PSC juga adalah program sokongan daripada Kerajaan Negeri demi membantu usaha pada peringkat Persekutuan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) demi memutuskan semua rantaian perebakan wabak ‘pembunuh’ tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD