Beban kewangan RM8.4 bilion bakal ikat rakyat Pulau Pinang selama 40 tahun

64bdde69 a9a8 461a 8b33 6f010cdecb86

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal terbeban dengan komitmen kewangan RM210 juta setahun atau kira-kira RM8.4 bilion, susulan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Konsortium PKNPk-Gamuda bagi projek pembekalan air terawat pukal dari Perak mulai tahun 2031.

Terkejut dengan perkara tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon meminta pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan kewajaran Pulau Pinang menanggung perbelanjaan modal (CapEx) bagi projek infrastruktur di negeri Perak itu.

“Saya terkejut dengan kewujudan Fixed Capital Charge (FCC) berjumlah RM210 juta setahun, dikunci untuk tempoh 40 tahun yang mana pada akhirnya akan ditanggung oleh rakyat Pulau Pinang.

“Air terawat Perak itu bukan diberi percuma, kita (Kerajaan Negeri melalui PBAPP) sudah bersetuju untuk membelinya, itu pun sudah merupakan kos operasi yang signifikan.

“Mengapa Pulau Pinang perlu menanggung kos CapEx infrastruktur yang dibina di negeri lain,” tanya beliau semasa membahaskan Belanjawan 2026 sempena berlangsungnya Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 17 November 2025.

Tegasnya lagi, sekurang-kurangnya empat orang Ketua Menteri selepas Kon Yeow nanti perlu menangani komitmen kewangan jangka masa panjang tersebut.

Di Ipoh pada 6 November 2025 lepas, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi bersama-sama Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad menyaksikan pemeteraian MoU projek pembekalan air terawat pukal di antara Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah Eksekutif Gamuda Berhad, Datuk Azmi Mat Nor.

Tujuan hakiki di sebalik projek mega tersebut antara lain demi memastikan kelestarian dan bekalan air termasuk usaha memperbaiki proses penyampaian air ke kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) untuk generasi akan datang.

Selain itu, projek pembekalan air terawat pukal dari Perak demi mewujudkan industri air terawat yang mencukupi, serta membina keyakinan pelabur terhadap projek berkepentingan bersama iaitu Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB