Belia Pulau Pinang dipelawa sertai Program ‘Column Writing’

GEORGE TOWN – Golongan belia Pulau Pinang yang berumur 15 hingga 30 tahun serta gemar menyuarakan pendapat melalui penulisan dipelawa untuk mengambil bahagian dalam Program ‘Column Writing’ anjuran MMK Belia dan Sukan dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

 

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, program tersebut menyediakan platform kepada golongan belia untuk menyuarakan pandangan di samping menggalakkan penglibatan aktif golongan terbabit dalam pembangunan diri belia, masyarakat, negeri dan negara.

 

“Saya optimis, pada masa sama program ini dapat menyemai minat sekaligus meningkatkan keupayaan golongan belia Pulau Pinang dalam menguasai kemahiran menulis sebagai salah satu medium komunikasi.

 

SOON Lip Chee (tiga dari kiri) menunjukkan cara penyertaan menggunakan imbasan kod QR pada poster hebahan.

“Maka, saya ingin mempelawa belia berumur 15 hingga 30 tahun yang berasal dari Pulau Pinang atau bermastautin, belajar mahupun bekerja di Pulau Pinang untuk menyertainya,” ujarnya pada sidang media di Komtar, tengah hari ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon selaku Ahli Lembaga Pengarah PYDC; Pengarah PYDC, Lee Wai Seang dan Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling.

 

Mengulas lanjut, Lip Chee memaklumkan, bahawa pihaknya tidak meletakkan had bagi jumlah peserta mahupun penyertaan dan penyertaan adalah percuma.

 

“Penyertaan boleh dilakukan dengan mengimbas kod QR yang terdapat pada poster program ataupun melalui laman Facebook PYDC.

 

Sebanyak lima pusingan dengan tema yang berbeza akan diberikan mulai bulan Ogos sehingga Disember dan bagi pusingan pertama, tema yang dipilih adalah ‘Youth For Future: Malaysia Prihatin’ bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

POSTER penyertaan.

“Pusingan pertama akan bermula esok 28 Ogos 2020 sehingga 11 September 2020, jadi ayuh sertai program ini ke arah membina sebuah masyarakat yang progresif selaras dengan visi Penang2030,” serunya.

Tiga karya terbaik bagi setiap pusingan dan kategori bahasa, iaitu bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa Cina serta bahasa Tamil berpeluang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM200 (bagi ketiga-tiga peserta dengan karya terbaik) dan hasil karya akan diterbitkan di laman media sosial rasmi penganjur.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI