Berdepan persaingan lima penjuru, Kon Yeow sedia pertahan kemenangan PH di Batu Kawan

BUKIT TENGAH – Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berdepan persaingan lima penjuru dalam usaha Pakatan Harapan (PH) mempertahankan Parlimen Batu Kawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang akan menentang calon daripada parti Warisan, Ong Chin Wen; Tan Lee Huat (Barisan Nasional, BN); Lee Ah Liang (Parti Rakyat Malaysia, PRM) dan Wong Chia Zhen (Perikatan Nasional).

Memberikan pesanan dan nasihat kepada para penyokong.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau menyifatkan PRU15 adalah sangat penting bagi rakyat untuk memilih Kerajaan Persekutuan yang boleh menyelamatkan, membina dan mencipta semula negara pada masa depan.

“Keazaman rakyat untuk berubah tidak boleh dipandang remeh, terutamanya selepas kuasa BN digulingkan daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018.

Keluar dari pusat penamaan calon selepas selesai menyerahkan nama.

“Namun begitu, apa yang berlaku selepas Langkah Sheraton adalah satu tamparan hebat terhadap demokrasi pengundi sekali gus menyaksikan negara dan rakyat menderita di bawah pemerintahan BN-PN.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk mendedikasikan semula komitmen politik untuk menyingkirkan BN dan PN sekali lagi demi membina semula negara,” serunya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa beliau akan memberi perhatian kepada permasalahan yang sering dibangkitkan oleh penduduk di Batu Kawan termasuk isu kesesakan lalu lintas, banjir kilat, perumahan, meningkatkan ekosistem perindustrian dan lain-lain lagi.

Penyokong Pakatan Harapan memberikan sokongan padu kepada Chow Kon Yeow.

“Masa depan Pulau Pinang adalah di Seberang Perai.

“Justeru, saya akan memberikan perhatian khusus untuk menyelesaikan sebanyak mungkin masalah yang dibangkitkan penduduk, di samping merancang projek jangka pangjang supaya Seberang Perai dan Batu Kawan mempunyai sokongan infrastruktur yang lebih baik untuk pembangunan masa depan,” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow yang tiba di pusat penamaan calon dekat Kolej Vokasional Seberang Perai, Bukit Mertajam pada jam 7.45 pagi dengan diiringi ratusan penyokong PH.

Chow Kon Yeow calon Pakatan Harapan nombor 2.

Beliau kemudian memasuki dewan penamaan calon pada jam 9 pagi bersama-sama pencadang, Datuk Dr. Ben Lee, 60 dan penyokong, Leong Choon Yee, 41.

Proses penamaan calon yang berakhir jam 10 pagi berjalan lancar tanpa sebarang provokasi dan insiden yang tidak diingini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan tarikh penamaan calon pada hari ini (5 November), 15 November bagi pengundian awal manakala 19 November sebagai tarikh hari mengundi.