BP2 bantu basmi lintah air, elak kerugian penternak ikan sangkar – Exco

Admin
c219d6b3 0575 437a 86a2 231a4ef6d275

BATU MAUNG – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Pulau Pinang melalui Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) menyerahkan peranti Break & Protect 2 (BP2) kepada 40 orang penternak ikan sangkar dalam membasmi populasi lintah air.

 

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Kolerasi, Fahmi Zainol berkata, peranti tersebut penting dalam mengurangkan kerugian penternak ikan sangkar akibat serangan lintah air.

 

“Pulau Pinang merupakan antara penyumbang utama industri akuakultur negara dengan pengeluaran sebanyak 12,702 tan metrik ikan marin bernilai RM341 juta pada tahun 2024.

7bbcdf05 60c3 431f be64 3d43a77ff436

“Namun serangan lintah air (Zeylanicobdella Arugamensis) menjadi cabaran serius kepada penternak dan pernah menyebabkan kerugian melebihi RM6 juta di negeri ini.

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyalurkan dana khas berjumlah RM350,000 untuk membekalkan sebanyak 1,200 unit BP2 kepada penternak secara berfasa.

 

“Sebanyak 700 unit BP2 diserahkan pada Ogos 2025 dan 500 unit lagi pada September depan,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Bantuan BP2 Kepada Penternak Ikan Sangkar di Akuarium Tunku Abdul Rahman, Batu Maung pada 18 Ogos 2025.

 

Pengarah DOF Pulau Pinang, Zarina Zainuddin dan Timbalan Pengarah Kanan IPP, Kua Beng Chu antara yang turut hadir.

 

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Beng Chu memberitahu bahwa unit BP2 merupakan hasil penyelidikan tempatan yang telah didaftarkan sebagai harta intelek sejak tahun 2017 serta memenangi pelbagai anugerah inovasi.

 

“Ia juga sebagai langkah mengelakkan penternak ikan sangkar menggunakan bahan kimia dalam membasmi lintah air.

 

“Peranti ini berfungsi dengan menarik lintah air untuk bertelur di BP2 yang mana penternak cuma perlu membersihkannya sekali gus mengurangkan populasi lintah air ini.

 

“Kesan buruk lintah air kepada ternakan ikan adalah luka pada badan-badan ikan yang akan mengakibatkan kualiti ikan menurun akibat luka tersebut,” jelasnya lanjut.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR