SIAPA sangka sebuah sekolah yang dikatakan sebagai sekolah luar bandar mampu mencipta nama di pentas kebangsaan.
Sekolah Kebangsaan (SK) Kongsi di Balik Pulau membuktikan bahawa faktor lokasi bukan penghalang apabila berjaya menjuarai pertandingan bicara berirama atau choral speaking pada peringkat kebangsaan, sekali gus mengharumkan nama sekolah dan negeri.
Pasukan choral speaking SK Kongsi mula aktif sejak tahun 2019 apabila muncul juara peringkat negeri dan kebangsaan dalam pertandingan anjuran salah sebuah agensi perbankan pada ketika itu.
Sejak itu, sekolah berkenaan terus melakar kecemerlangan apabila turut unggul dalam pertandingan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama jurugambar, SIEW CHIA EN sempat berkunjung ke SK Kongsi bagi mendengar perkongsian di sebalik pencapaian luar biasa yang dilakar.

Guru Besar SK Kongsi, ROZANA MOHAMED NOORDIN ketika ditemui mengakui bahawa beliau berasa amat bangga dengan pencapaian anak-anak muridnya.
“Walaupun kami hanya sekolah biasa di luar bandar, murid-murid mampu berdiri sama tinggi dengan sekolah lain.
“Malah, ada murid kami yang berjaya mengharumkan nama ke peringkat antarabangsa dalam bidang kitar semula menerusi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi kategori International Best Practice,” katanya.
Menurut Rozana, usaha melahirkan pelapis baharu telah dimulakan sejak murid berada di Tahun 3 lagi bagi memastikan legasi pasukan terus diperkukuh.
“Melalui choral speaking, kemahiran komunikasi dan disiplin murid dapat dipertingkatkan.
“Kami tidak mahu memberi tekanan, sebaliknya mahu mereka memperoleh pengalaman dan keyakinan diri,” katanya yang telah berkhidmat di sekolah tersebut sejak tahun 2004.

Sementara itu, guru pembimbing, NUR ADZELINDA ROSMI yang turut serta dalam pertemuan itu berkata, di bawah penganjuran KPDN, SK Kongsi telah tiga kali layak ke peringkat kebangsaan dengan sekali muncul juara, manakala penyertaan di bawah KPM pula menyaksikan mereka dua kali mara ke peringkat sama.
“Untuk menggilap bakat murid bukan sesuatu yang mudah yang mana kita perlu memupuk minat mereka terlebih dahulu sebelum membuat pemilihan.
“Antara kriteria utama adalah lantunan suara yang jelas dan kuat, sebutan yang tepat serta ekspresi yang meyakinkan.
“Ada dalam kalangan mereka (murid) bukan dari kelas hadapan, tetapi mereka berani dan tidak takut berdepan khalayak,” katanya.

Pasukan yang dikenali sebagai Northern Speakers Club itu turut dibimbing dua lagi guru iaitu NOR AZLINA MOHD. KHALID dan ALYA QISTINA MOHAMAD FESAL.
Menurut beliau, penglibatan dalam choral speaking bukan sahaja membina keyakinan diri, malah membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris murid sehingga ada yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Sebelum latihan bermula, murid akan menghafal skrip serta mempelajari sebutan perkataan menggunakan carian dalam talian dengan rujukan sebutan British.
“Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting, walaupun latihan berakhir sekitar jam 4 petang, mereka tetap memberi sokongan penuh,” tambahnya.
Mengulas mengenai undangan membuat persembahan choral speaking pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam bersama Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang di Dewan Seri Pinang pada 22 Januari lalu, rata-rata guru SK Kongsi menyifatkannya sebagai satu penghormatan besar.
“Ada kalanya undangan persembahan lebih membanggakan daripada pertandingan kerana kami diberi peluang membuat persembahan di hadapan pemimpin dan tetamu kenamaan.
“SK Kongsi hanyalah sekolah kecil dengan kira-kira 500 murid, namun diberi peluang besar seperti ini sememangnya membanggakan,” katanya.
Sekolah itu juga pernah mengadakan kolaborasi bersama sebuah sekolah dari Indonesia sebagai usaha memperluas jaringan dan pengalaman murid.
Di sebalik kejayaan tersebut, cabaran tetap wujud termasuk kekangan masa murid, cuaca panas, kehadiran serta penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dan sukan lain.
Guru-guru turut menetapkan syarat bahawa murid perlu menyiapkan kerja sekolah dan mengekalkan prestasi akademik sebelum dibenarkan menyertai pasukan choral speaking.

Bagi murid Tahun 6, AYESHA ZAHIRAH URAZYHAN, minatnya terhadap choral speaking bermula daripada pengaruh abangnya.
“Pada mulanya saya agak takut, tetapi selepas menyertainya saya jadi lebih berani bercakap di hadapan kamera.
“Cabaran utama adalah pengurusan masa kerana ibu bapa juga mahu saya fokus kepada akademik.
“Pengalaman paling menyeronokkan adalah apabila kami memenangi pertandingan KPDN dan dibawa ke Snow World sebagai penghargaan,” katanya yang turut aktif dalam Pengakap dan bola baling.

Seorang lagi murid Tahun 6, HADIR YUSOF ABDUL HADI pula, beliau selesa memegang watak solo sebagai ‘uncle’.
“Saya rasa seronok dapat watak solo kerana menghafal skrip tidaklah terlalu sukar.

“Untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, saya sering mendengar lagu Inggeris seperti lagu dari kumpulan Backstreet Boys yang diperkenalkan oleh emak,” ujarnya.
Kejayaan SK Kongsi membuktikan bahawa dengan bimbingan guru yang komited, sokongan ibu bapa dan kesungguhan murid, sekolah luar bandar juga mampu mencipta kecemerlangan di pentas kebangsaan.