Butterworth Digital Library kini dibuka kepada orang awam

BAGAN DALAM – Perpustakaan digital pertama di Seberang Perai, Butterworth Digital Library (BDL) kini dibuka sepenuhnya kepada orang awam.

Beroperasi di bangunan dua tingkat dekat Kampung Benggali, BDL merupakan perpustakaan digital keempat yang dibangunkan di negeri ini oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Nor Fazira Mat Salleh.

Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Nor Fazira Mat Salleh, 27, memaklumkan bahawa BDL menerima kunjungan kira-kira 200 orang setiap hari sejak dibuka pada 15 Julai lalu.

“Pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) kehadiran pengunjung lebih ramai iaitu kira-kira 300 orang setiap hari.

“Jumlah pengunjung sebenarnya tidak ada had tetapi memandangkan kita masih dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jadi terpaksa kawal bagi mengelakkan berlaku kesesakan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di sini, pagi tadi.

Nor Fazira berkata, DBL menyediakan kira-kira 5,494 buah buku elektronik (e-book) dalam pelbagai genre yang boleh diakses oleh semua pengunjung yang datang ke sini melalui tablet yang disediakan.

Pengunjung wajib melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki BDL selain perlu memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak fizikal.

“Sekiranya orang awam mahu mengakses buku-buku ini melalui laptop atau telefon pintar peribadi, mereka boleh mendaftar sebagai ahli (e-Book) dengan bayaran RM60 setahun bagi orang dewasa manakala pelajar pula akan diberikan diskaun sebanyak 50 peratus.

“Selain itu, pengunjung juga boleh meminjam dua buah buku (maksimum) dan perlu dikembalikan dalam masa tujuh hari,” jelasnya.

Katanya lagi, kemudahan lain yang turut disediakan di BDL termasuk ruang belajar, bilik telesidang yang boleh memuatkan sehingga sembilan orang, bilik seminar serta dewan acara.

“Semua kemudahan ini terbuka untuk disewa kepada orang awam untuk pelbagai acara yang bersesuaian.

“Ruangan kanak-kanak juga disediakan untuk yang berumur empat hingga 12 tahun bagi memudahkan ibu bapa yang datang ke sini dengan anak-anak, tetapi mereka (ibu bapa) perlu memantau dan mengawasi anak masing-masing.

“Bagi tempoh PKPP, setiap pengunjung yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka, memeriksa suhu badan dan mengekalkan jarak fizikal,” ujarnya lagi.

Pengunjung boleh mengakses buku-buku elektronik yang terdapat di BDL secara percuma menggunakan tablet yang disediakan.

Difahamkan, BDL bakal dirasmikan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada 8 Ogos (sabtu) ini.

Sebagai rekod, Pulau Pinang menjadi negeri pertama dalam negara yang membangunkan perpustakaan digital bermula dengan PDL fasa 1 dan fasa 2 sebelum diperluas ke kawasan Batu Maung (Batu Maung Digital Library) dan Seberang Perai (Butterworth Digital Library).

Selain untuk mencapai status negeri pintar menjelang tahun 2030, pembinaan perpustakaan digital juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk membawa teknologi terkini ke dalam bidang pendidikan dengan menyediakan bahan bacaan elektronik dan tanpa buku.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS