DAP pertaruhkan 7 muka baharu untuk kekal rekod menang

Admin

GEORGE TOWN – Parti Tindakan Demokratik (DAP) kekal mempertaruhkan 19 calon bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang bakal diadakan pada 12 Ogos ini.

 

Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook ketika mengumumkan perkara itu memaklumkan bahawa kesemua 19 calon berkenaan kini menggalas tanggungjawab dalam misi mengekalkan kemenangan di semua kerusi yang dipertandingkan.

 

“Misi adalah untuk mendapat mandat lima tahun lagi yang mana selama 15 tahun lalu kita (pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang) telah menunjukkan prestasi dan kad laporan cemerlang, para pengundi di Pulau Pinang boleh melihat sendiri perubahan yang berlaku sepanjang tempoh tersebut.

 

“Selepas ini, semua calon-calon ini bolehlah membentangkan prestasi dan rekod masing-masing supaya rakyat boleh membuat penilaian sendiri tentang pentadbiran ini dan seterusnya memberi mandat untuk terus memimpin Pulau Pinang ke arah kecemerlangan dan kemajuan.

 

“Tugas berat ini harus dipikul bersama-sama sehingga ke peringkat akar umbi untuk menghadapi pilihan raya yang sangat penting ini, demi masa depan Pulau Pinang yang dinamik,” ujarnya pada Majlis Pengumuman Calon-Calon DAP Pulau Pinang Untuk Pilihan Raya Negeri Ke-15 di sini pada 25 Julai 2023.

 

ANTHONY Loke Siew Fook pada sidang media usai majlis pengumuman calon DAP Pulau Pinang di sini.

 

Hadir sama, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming; Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta pimpinan DAP Pulau Pinang.

 

Tambah Siew Fook, sebagai Menteri Pengangkutan di bawah Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan, pihaknya berhasrat untuk membawa banyak lagi projek ke Pulau Pinang demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

 

“Semua itu hanya dapat dilaksanakan sekiranya Kerajaan Negeri yang terbentuk adalah sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan dan untuk itu, kita mesti mengekalkan kemenangan ini,” katanya.

 

Pada majlis sama, beliau juga menzahirkan penghargaan kepada 19 ahli DAP yang telah berkhidmat dan mempertahankan pimpinan DAP Pulau Pinang sejak lima tahun lalu meskipun berlaku pergolakan politik.

 

ANTHONY Loke Siew Fook (empat dari kiri) menyerahkan watikah pencalonan kepada Chow Kon Yeow pada majlis berkaitan di sini.

 

Dalam pada itu, Siew Fook turut memberitahu bahawa pimpinan DAP akan terus menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang merangkap Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk tempoh lima tahun akan datang.

 

“Saya pasti beliau (Kon Yeow) akan terus memimpin DAP dan calon-calon Pakatan Harapan lain dalam menghadapi PRN ini.

 

“Pastikan DAP Pulau Pinang dapat mengekalkan rekod bersih menang di kesemua 19 kerusi dalam memastikan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Pulau Pinang,” jelasnya.

 

Berikut adalah senarai calon yang dikekalkan; Chow Kon Yeow (Padang Kota); Heng Lee Lee (Berapit); H’ng Mooi Lye (Jawi); Zairil Khir Johari (Tanjong Bunga); Lim Guan Eng (Air Putih) yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan; Teh Lai Heng (Komtar); Jagdeep Singh Deo (Datok Keramat); Lim Siew Khim (Sungai Pinang); Ong Ah Teong (Batu Lancang) dan Joseph Ng Soon Siang (Air Itam).

 

Seramai tujuh muka baharu dipertaruhkan, mereka ialah Phee Syn Tze (Sungai Puyu); Chee Yeeh Keen (Bagan Jermal); K. Kumaran (Bagan Dalam); S. Sundarajoo (Perai); Joshua Woo Sze Zeng (Pulau Tikus); Wong Yuee Harng (Pengkalan Kota) dan Connie Tan Hooi Peng (Seri Delima).

 

Manakala, Wong Hon Wai (penyandang Parlimen Bukit Bendera) diberi kepercayaan bertanding di kawasan Paya Terubong dan Daniel Gooi Zi Sen (penyandang Pengkalan Kota) di Padang Lalang.

 

Selain Prof. Dr. P. Ramasamy yang tidak mempertahankan kawasan Perai, penyandang yang tidak bertanding semula termasuk Soon Lip Chee (penyandang Bagan Jermal); Phee Boon Poh (penyandang Sungai Puyu); Chong Eng (penyandang Padang Lalang); M. Satees (penyandang Bagan Dalam); Chris Lee Chun Kit (penyandang Pulau Tikus) dan Syerleena Abdul Rashid (penyandang Seri Delima). Manakala, Yeoh Soon Hin, penyandang Paya Terubong bakal dicadangkan lantikan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.

 

Daripada 19 calon DAP berkenaan, empat adalah calon wanita merangkumi 21.05 peratus. Manakala dari segi purata umur adalah 46.5 peratus yang mana 4 daripada 19 adalah kurang dari 40 tahun dan 78.95 peratus atau 15 calon melebihi umur 40 tahun.

 

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, DAP memenangi kesemua 19 kerusi daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan PRN kali ini, Pakatan Harapan Pulau Pinang akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) berdasarkan pembahagian kerusi yang dipersetujui iaitu DAP mempertaruhkan 19 calon; Parti Keadilan Rakyat (PKR) (13); Parti Amanah Negara (Amanah) (2) dan BN (6).

 

Turut diumumkan pada majlis sama adalah dua calon DAP Kedah yang bakal bertanding di DUN Derga, Tan Kok Yew dan Teh Swee Leong di DUN Kota Darul Aman.

 

Terdahulu, usai pengumuman calon, Siew Fook menyerahkan watikah pencalonan kepada semua 19 calon.