Datuk Bandar guna mod pengangkutan alternatif ke mesyuarat

MOD PENGANGKUTAN ALTERNATIF… Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif baru-baru ini melakukan kayuhan santai menggunakan perkhidmatan basikal Link Bike bagi menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan di sini.

Kayuhan santai tersebut turut diiringi Ahli-ahli Majlis MBPP, Ketua-ketua Jabatan dan anggota-anggota penguat kuasa MBPP.

Selain pertama kali menggunakan perkhidmatan berkaitan, Maimunah menyatakan bahawa dengan cara tersebut (kayuhan), beliau boleh membuat penilaian terhadap mod pengangkutan tersebut yang diperkenalkan dalam kawasan George Town.

“Ini adalah pertama kali saya mencuba perkhidmatan ini, kebetulan saya perlu menghadiri mesyuarat di Dewan Bandaraya, Padang Kota Lama.

“Selepas ini, bolehlah saya membuat penilaian berhubung mod pengangkutan ini dan mempromosikannya,” ujarnya yang ditemui sebelum melakukan kayuhan santai tersebut di sini.

Kayuhan tersebut adalah bermula di Lebuh Lintang melalui Jalan Dr. Lim Chwee Leong, Lebuh Carnarvon, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Light dan tiba di Padang Kota.