Datuk Bandar MBSP dilantik sebagai penasihat jawatankuasa eksekutif global

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud baru-baru ini dipilih dan dilantik sebagai penasihat salah satu daripada 13 portfolio jawatankuasa eksekutif global di bawah Local Government for Sustainability (ICLEI).

Dalam satu kenyataan media MBSP memaklumkan bahawa Rozali dipilih sebagai penasihat kepada salah satu daripada 13 portfolio di bawah ICLEI Global Executive Committee bagi sesi 2021 – 2024, iaitu, The Climate Action and Low Emission Development Portfolio.

“ICLEI ini merupakan satu rangkaian global yang terdiri daripada lebih 1,750 pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Kerajaan Tempatan yang komited terhadap pembangunan perbandaran yang mampan.

“Kerusi ICLEI Global Excutive Committee dicalonkan dan dipilih oleh setiap wilayah atau rantau, manakala kerusi portfolio ICLEI Global Executive Committee pula dipilih dan diundi oleh anggota Majlis ICLEI,” jelas sumber.

Difahamkan, ICLEI merupakan tumpuan utama pihak Local Government and Municipal Authorities (LGMA) di United Nation Framework Convention on Climate Change (UNFCCC), antara lain merupakan forum global yang berusaha mengadakan rundingan berkaitan isu-isu iklim antara bandar.